Ahad, 21 Julai 2013

RAMADHAN TITIAN TARBIAH


“Wahai orang-orang yang beriman telah difardukan keatas kamu puasa sepertimana difardukan keatas umat terdahulu moga-moga kamu bertaqwa”

Ramadhan adalah sebuah universiti tarbiah yang luar biasa kesannya dan berbeza cara untuk melaluinya. Pelbagai ganjaran berganda dihidangkan buat kita semua. Tetapi perlu diingat dan diteliti dalam kesibukan kita megutip pahala yang melimpah ruah pada setiap amal ibadah dan juga menjaga hubungan kita dengan Allah. Jangan pula kita lupa akan tanggungjawab kita sesama manusia. Tidak dapat dinafikan bahawa bulan ramadhan dan amal ibadat yang dilakukan di dalamnya sarat dengan tarbiah terutamanya tarbiah ruhiah yang mampu membangkitkan kembali jiwa-jiwa yang penuh dan sesak dengan karat-karat dosa. Bertepatan dengan ramadhan yang telah masuk ke fasa pertengahan ataupun fasa maghfirah iaitu fasa pengampunan perlulah kita menilai kembali prestasi-prestasi ibadah kita bermula dari awal ramdhan lalu agar saat graduasi kelak kita akan beroleh bukan sahaja kuantiti hari berpuasa malahan kita memperoleh kualiti ibadah dan juga kualiti sebagai seorang mukmin muttaqin yang bertaqwa. Hakikatnya nilai taqwa itulah sebenarnya yang kita hajati

Bulan ramadhan sangat sinonim dengan bulan pentarbiahan kerana didalam bulan ini juga kita dididik secara langsung oleh Allah S.W.T supaya mampu mengatur masa dan waktu di dalam kehidupan dengan lebih teratur seperti waktu makan,istirehat,bekerja dan juga waktu ibadah. Tarbiah juga merupakan satu wasilah yang sangat penting bagi kehidupan insan dan umat islam kerana dengan tarbiahlah akan lahir “syakhsiah islamiah mutakamilah mutawazinah” (keparibadian islam yang sempurna dan seimbang) yang mampu menghadapi segala halangan dan cabaran yang akan mendatang.


Pelbagai hikmah dan juga pengajaran yang dapat kita perolehi di dalam bulan yang penuh mulia ini diantaranya :

1.     Ramadhan merupakan bulan pembinaan spiritual (tarbiah ruhiyah)

Pada dasarnya semua ibadah yang telah diperintahkan kepada manusia merupakan satu kewajiban seorang hamba kepada Tuhannya. Bertepatan dengan tujuan manusia dan jin itu sendiri diciptakan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk beribadah

Formula pembinaan graduan generasi bertaqwa telah dicatat di dalam al-quran. Justeru sepanjang Ramadhan ini al-Quran bukan sahaja dibaca untuk meraih pahala yang berlipat ganda tetapi ia juga perlu ditadabbur dan diteliti di setiap hikmah dan pengajaran yang terdapat di dalamnya.
Ramadhan juga adalah bulan daurah al-Quran yang mana di dalamnya terdapat pandangan yang menyeluruh berkaitan alam semesta,kejadian manusia dan juga segala nikmat yang telah Allah berikan kepada kita sekaligus menjadi manhaj amali dalam mempersiapkan manusia dari segi ruh pembentukan  keimanan dan pentarbiahan jiwa yang diakhirnya menghasilkan individu yang bertqwa.

Firman Allah S.W.T didalam surah At-talaq:

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan segala larangan) nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar (dari perkara yang menyusahkan) serta memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangkanya”
(At-Talaq : 2-3)

Selain itu di dalam bulan Ramadhan juga terdapat ibada puasa yang berfungsi sebagai tazkiyatunnafs (pembersihan jiwa) di mana orang yang berpuasa selain daripada menjaga diri untuk tidak makan dan minum juga dituntut untuk mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan dan juga melatih diri untuk menyempurnakan segala ibadah walau dalam keadaan lapar. Perlu juga menjaga diri dari ucapan yang kotor menjauhi sifat hasad dengki dan semua sifat mazmumah. Ibadah puasa juga meninggikan ruh ilahi daripada pengaruh kebendaan dan meninggikan akal daripada nafsu yang dimurkai.

2.0 Ramadhan merupakan jalan pembinaan jasmani (tarbiah jasadiah)
Ibadah puasa  bukan sahaja menuntut kepada cara mengendalikan hawa nafsu malahan ia juga menuntut kepada kekuatan fizikal. Kerana puasa tidak diwajibkan kepada golongan yang kesihatannya tidak menentu seperti orang tua yang tenat, wanita hamil ataupun wanita yang menyusui bayinya serta orang yang bermusafir yang mana ke semua itu memperoleh keringanan (rukhsah). Selain itu juga puasa juga dapat membersihkan usus-usus,memperbaiki proses pencernaan dan pelbagai lagi kebaikan yang terdapat didalam kita menjalani ibadah berpuasa.

3.0 Ramadhan membentuk akhlak islamiah
Tidak dapat dinafikan di dalam bulan ramadhan dapat membentuk pelbagai akhlak yang mulia. Pada bulan ini juga pelbagai program dan pelbagai aktiviti yang disusun sebagai langkah alternative bagi mendekatkan diri kepada Allah dan hasilnya tercetaklah peribadi yang soleh dan mulia serta dapat membantu meningkatkan keimanan sekaligus melahirkan individu yang komited didalam jalan dakwah serta melahirkan graduasi ramadhan yang bertaqwa.

Sangat beruntunglah bagi orang yang bergelar muslim dan mukmin kerana sepanjang bulan ramadhan ini syaitan akan diikat dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya. Inilah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan kerana 30 hari ini hanya dijumpai setahun sekali dan ini juga merupakan jalan alternative bagi kita untuk dijadikan bekalan menuju ke syurga dengan mudah.

 Akhir kata, Ramadhan tidak akan ada maknanya jika kita sambut saban tahun tanpa kita mencapai martabat generasi bertaqwa. Buat para pemuda pemudi islam,marilah kita mengambil kesempatan semaksima mungkin mengikuti modul latihan realiti pembinaan generasi bertaqwa. Dalam madrasah Ramadhan ini kita perlu mengambil peluang dengan segala hikmah dan pengajaran yang terdapat di dalamnya khusus buat para pemuda dan pemudi islam yang menginginkan Islam bersinar kembali.

Nurul Aziela binti Mohd Nasir,
Setiausaha HEWI,
Badan KEbajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2012/2013