Isnin, 27 Julai 2015

DAKWAH FARDIAH : Kearah Generasi Muslim Penyambung Perjuangan Rasulullah S.A.W



Dakwah fardiah merupakan salah satu cabang dari cabang-cabang dakwah Islamiah,bahkan ia mempunyai pelbagai kaedah bagi mencapai keberkesanannya. Antaranya dengan katibah ( menghidupakan malam dengan amal soleh secara berjemaah), khutbah, kuliah-kuliah agama, dan dengan gerak kerja kemasyarakatan.

Bahkan bagi seorang pendakwah yang menjadi tulang belakang kepada dakwah Nabi S.A.W hendaklah bermujahadah bersungguh-sungguh dan bermuhasabah serta sentiasa bersifat raja’ (kembali kepada Allah S.W.T) dan sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada mengesakan Allah serta ia sendiri mengerjakan amal soleh sambil berkata : sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam” (Fussilat : 33)

Para Ulama’ Gerakan telah menggariskan beberapa tingkatan dakwah kepada para pendakwah agar mad’u (orang yang didakwah) dapat menerima dakwah yang diseru berlandaskan aqidah, kefahaman dan semangat yang sebenar dan bukan semata-mata menggabungkan diri dalam Jemaah dek kerana tertawan dengan pangkat atau kepentingan diri semata-mata.


TINGKATAN PERTAMA : Mewujudkan hubungan dua pihak dan berkenal-kenalan dengan mad’u.

Pada tahapan permulaan ini, seorang pendakwah hendaklah mempamerkan gerak kerja amali dengan menunjukkan keprihatinan daie itu kepada mad’u dan bertanyakan tentangnya sekiranya ia tidak berjumpa. Daie itu hendaklah benar-benar mengenali setiap sudut tentang diri mad’unya sehingga sekecil-kecil perkara seperti hobi dan kecenderungannya atau peristiwa-peristiwa penting tentangnya. Kemungkinan masa yang diambil untuk tahapan ini selama beberapa minggu atau bulan.


TINGKATAN KEDUA : Meningkatkan kesedaran iman dalam diri mad’u.

Seorang dai’e perlu bijak untuk mengendalikan perbicaraan tentang keimanan secara semula jadi seperti mengetuk kesedaran mereka dengan berbicara tentang kekuasaan Allah S.W.T, perciptaan-perciptaanNya dengan mendatangkan contoh seperti proses fotosintesis tumbuhan, penciptaan manusia, kitaran hujan dan peredaran bumi, matahari, dan bulan yang telah dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran. “Dan mereka yang memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata : Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka” (Ali Imran 191). Maka dengan itu mad’u akan mula berfikir dan menjentik telaga keimanannya secara tidak langsung.


TINGKATAN KETIGA : Menyeru kepada melakukan taat kepada Alah S.W.T, melakukan ibadah wajib mahupun sunat dan menjauhi maksiat serta menghiasi diri dengan akhlak Islamiah.

Selain dari perkara-perkara yang disebutkan diatas, para pendakwah boleh menambahkan kredit melalui pemantapan akidah, ibadah, dan akhlak dengan membacakan kepada mereka buku-buku yang berkaitan. Dalam pada masa yang sama menyeru untuk menghadiri majlis ilmu dan memperkenalkan dengan ulama-ulama yang haq sehingga dapat meghasilkan fardu muslim yang sebenar dalam diri mad’u.


TINGKATAN KEEMPAT : Menerangkan Islam secara keseluruhannya.

Pada peringkat ini, daie hendaklah menerangkan  tentang Islam pada makna yang sebenar yang meliputi seluruh aspek kehidupan dan tidak menghadkan ia pada ibadah asas seperti solat, puasa, zakat, dan haji. Bahkan Islam itu termasuk juga tentang cara pemakaian, berfikir, makan dan minum, ilmu dan amal baik dari urusan perkahwinan, perniagaan dan sebagainya. Tambahan lagi syarat asas bagi penerimaan sesuatu amal itu adalah niat kerana Allah S.W.T serta menepati kehendak syarak.


TINGKATAN KELIMA : Memberi kefahaman bahawa Islam agama jamaie iaitu ia mencakupi undang-undang kehidupan, hukuman dan pensyariatan, Islam adalah negara, jihad, dan kesatuan ummah.

Yang dimaksudkan dengan tahapan ini adalah membawa kepada kefahaman yang benar tentang Islam dimana setiap fardu muslim itu telah terpundak kepadanya akan tanggungjawab dan kewajipan terhadap Islam sejajar dengan perintah Allah S.W.T sehingga merealisasikan masyarakat yang berdiri teguh atas perinsip-prinsip Islam meliputi politik, ekonomi, syariat, pendidikan, masyarakat dan sebagainya. “Menjadilah agama itu seluruhnya bagi Allah semata-mata” (Al-Anfal 39).


TINGKATAN KEENAM : Menerangkan tentang kewajipan yang tidak boleh tidak untuk dilaksanakan secara kolektif dan berjemaah pada zaman ini yang semakin dilupakan oleh sebilangan besar manusia iaitu mendirikan khilafah Islamiah.

Pembinaan khilafah ini merupakan perkara yang penting untuk diberi perhatian sejak kejatuhannya pada tahun 1924. Hal ini perlulah dilaksanakan secara berjemaah dan bukan dengan kudrat persendirian. Maka daie hendaklah menjelaskan betapa besarnya tanggungjawab yang tergalas di bahu seorang muslim dan dalam menjalaninya hendaklah mad’u menerima dasar dan pembawaan yang digariskan oleh Jemaah disamping meyakinkan faedah-faedah yang diperoleh atas keberhasilan dakwah ini.


TINGKATAN KETUJUH : Menjawab kepada persoalan : Jemaah atau kesatuan yang perlu disokong dan didokong oleh mad’u.

Tingkatan ini merupakan tingkatan teritinggi yang mana seorang mad’u sudah bersedia untuk menggabungkan diri dalam Jemaah atau kesatuan yang benar-benar didasari oleh Al-Quran dan Sunnah. Para salafussoleh telah memberikan panduan yang jelas untuk memilih jemaah antaranya paling lama ditubuhkan, mempunyai ramai pengikut, didasari dengan asas Al-Quran dan Sunnah, ditubuhkan atas kesedaran untuk memperbetulkan kepincangan ummat akhir zaman dan bukan diwujudkan atas dasar hasad dengki atau kepentingan tertentu. Maka wajib bagi setiap ahli untuk sama-sama menggembleng tenaga dan bermujahadah untuk melaksanakan tanggungjawab membawa Islam seperti yang telah diwariskan oleh Nabi S.A.W.

Kesimpulannya, seorang daie perlu bijak mempelbagaikan corak dakwah serta memastikan keberhasilan setiap tahap dakwah sebelum berpindah ke tahap seterusnya. Adalah menjadi kesalahan sekiranya seorang daie terus melangkah ke tahap keempat atau kelima tanpa melaui tahap pertama dan kedua. Semoga coretan ini sedikit sebanyak dapat menjadi panduan para pendakwah tatkala berhadapan dengan mad’u dan masyarakat umum. WAllahua’lam.


Sumber : Kitab Dakwah Fardiah ( Mustafa Masyhur )