Ahad, 26 Ogos 2012

PENGORBANAN MANIFESTASI KETAKWAAN


“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya,serta kamu berjuang dan membela menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu,yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya),”  (As-Saf:10-11)

Acap kali kita dipertontonkan dengan tragedi-tragedi perjuangan gigih pejuang agama Allah yang syahid dalam medan tempurnya.Umpama cendawan tumbuh selepas hujan, khabar gembira itu silih berganti tanpa ada noktah henti.

Begitu juga perjuangan bagi da’ie yang membawa risalah dakwah ini,tidak boleh tidak terlepas dari fenomena pengorbanan.

Pengorbanan bukanlah sekadar teori yang dibaca dalam risalah-risalah perjuangan tetapi hakikat yang medan tempurnya adalah jiwa insan.

Pengorbanan adalah mengorbankan harta,waktu,kehidupan dan segalanya untuk mencapai matlamat yang ingin dicapai.

Tidak ada jihad yang tidak memerlukan pengorbanan dan jangan sekali -kali konsep pengorbanan gugur dalam jalan insan mencapai keredhaan Allah.

Berkorban itu sendiri mengandungi intipati mencintai,mentaati,mengabdi,menyerahkan dan reda.Hanya mereka yang benar-benar ikhlas mampu menyelami hikmah di sebalik pengorbanan yang meratah satu persatu kudrat seorang hamba.

Hamba yang ikhlas menerima segala ketentuan Allah adalah hamba yang sentiasa bersyukur dalam segala hal.

Dalam menyelami sirah kehidupan rasul junjungan kita,Nabi Muhammad S.A.W pelbagai corak dan pola kehidupan yang digambarkan oleh baginda menjelaskan secara terperinci pengorbanan baginda yang sungguh
agung.

Pertama,baginda melaksanakan tuntutan Allah dari segala tuntutan kehidupan.Ia menggambarkan keutamaan dalam amal yang diyakini oleh seluruh umat, Allah jua sebaik-baik pengatur yang memegang kunci rahsia kehidupan hamba.

Pengorbanan memerlukan ketinggian iman yang tidak berbelah bagi terhadap seruan Allah.Justeru, ia dilaksanakan dengan penuh perhambaan dan kerelaan tanpa meletakkan syarat dan alasan bahkan
dilaksanakan dengan proaktif.

Wahai orang-orang yang beriman!Sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka;dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni mereka,maka sungguh,Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang,”  (At Taghaabun:14)

Setiap pejuang harus sedar dalam melaksanakan tanggungjawab kita berhadapan dengan musuh.Musuh ini sendiri adalah hawa nafsu,syaitan,iblis,anak-anak dan isteri.

Seorang da’ie perlu mengorbankan sesuatu yang dicintai dan disayangi di dunia ini bagi meraih cinta dan redha Allah serta ganjaran syurga.

Apa yang dimiliki oleh hamba itu sendiri adalah ujian untuk mencapai darjat ketakwaan.Islam tidak akan mampu dijulang dan diperkasa melainkan kepada sifat tadhiyyah (pengorbanan).

Hakikatnya, pengorbanan mengajar hamba itu memperbaharui cintanya kepada Allah,Rasul-Nya,diri sendiri,ibu bapa,isteri,suami,anak-anak dan yang terakhir umat manusia seluruhnya.

Bukankah telah digambarkan dalam Al-Quran bahawa penyeruan dakwah itu sangat sukar dan menuntut pengorbanan?

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. " (At-Taubah : 111)

Berjuanglah para da’ie yang mulia.Bangkitlah tanpa rasa sedih dan dukacita.

Teruskan melangkah dengan memegang dasar Al-Quran dan Sunnah.

Ketahuilah bahawa perjalanan ini tidak kosong, bahkan perlu dibawa bersama pengorbanan dan pengorbanan inilah manifestasi ketakwaan.

Apa yang membezakan seorang hamba dengan hambaNya yang lain adalah darjat ketakwaan kerana takwa adalah layar dalam mengemudi samudera kehidupan.


"Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan"
"Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah"


FARAH HAZIQAH BINTI MOHD HARUN,
SETIAUSAHA HEWI,
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 11/12.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan