Kaherah, 1 Ogos : Kolokium Ilmuan Siri 2 dan 3 anjuran Lajnah dan Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM 2010, dengan kerjasama dari Unit Dakwah BKAN berjaya diadakan pada 28 dan 29 Julai yang lalu bagi peringkat mahasiswi.
Penyertaan mahasiswi dari seluruh BKAN sungguh menggalakkan. Program yang berlangsung selama 2 hari itu telah diadakan di Rumah Perak, wisma A dan bermalam di wisma B dengan jayanya.
Pendaftaran telah dibuka kepada seluruh mahasiswi baru melalui Unit Dakwah BKAN. Program yang melibatkan hampir 90 orang peserta dari seluruh BKAN.
Bermula pada jam 9.30 pagi untuk pendaftaran dan diikuti dengan ucapan aluan dari Timbalan Pengarah Kolokium Ilmuan Siri 2 dan 3, Saudari Nurul Amirah Ibrahim. Beliau menekankan konsep tarbiyyah yang ditekankan oleh Islam melalui pembentukan fikrah berdasarkan acuan al-Quran dan as-Sunnah.
Sebanyak tiga pembentangan kertas kerja yang telah dibentangkan termasuk sebuah kitab yang didiskusi. Pembentangan kertas kerja pertama “ Amar Makruf Nahi Munkar” menampilkan sendiri Timbalan Pengarah Unit Biah Solehah PMRAM iaitu Saudari Hanisah Muslim dan Unit Hisbah PMRAM, Saudari Norazura Rahim.
Pembawakan dalam bentuk Talkshow untuk kertas kerja “ Permasalahan Ikhtilat Menurut Perspektif Islam” berjaya menarik tumpuan peserta telah dibentangkan oleh Saudari Fitri Nurrain Nordin.
Manakala mantan Pengerusi DPM Iskandariah, Saudari Wan Azizun, membentangkan kertas kerja “ Kepentingan Melibatkan diri dengan Amal Ijtimaie”. Kitab Thaqafah Pendakwah, yang dikarang oleh Dr Yusuf Al-Qardawi telah dikupas oleh Saudara Khairul Amri Helmi Azhar.
Menurut Ketua Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Saudari Hurriyyah Abdul Mokti, penglibatan pelbagai latar belakang pendidikan peserta yang terdiri dari pelajar Pengajian Islam, Perubatan dan Bu’uth, memeriahkan lagi pencambahan idea dan perkongsian ilmu.
Inilah yang dianjurkan oleh Islam, dalam kepelbagaian pendapat yang dapat menghasilkan satu natijah yang baik.
Pelbagai pengisian yang disajikan bagi membentuk kefahaman dan kesedaran mahasiswi baru. Ini bagi mencapai objektif yang dibawa oleh PMRAM melalui tema PMRAM sesi 2010, “Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah”.
Program yang berakhir pada 29 Julai, diakhiri dengan ucapan penangguhan oleh Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM, Saudari Nor Hafiza Abdul Wahab.
Beliau melahirkan hasrat agar para peserta inilah yang akan menjadi penyambung perjuangan Islam yang suci. Turut didedahkan sebelum itu, slot PESAT yang diterangkan sendiri oleh Naib Pengerusi HEWI I, Saudari Ibtisan Mohamad.
Sumber: HEWI PMRAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan