Ramadhan bulan silaturrahim,bulan yang menguatkan ukhuwah Islamiah. Ramadhan juga bulan yang penyatuan, kerana seluruh umat Islam bersatupadu memenuhi hak Allah SWT.
Saban tahun Ramadhan sentiasa menjadi bulan yang dinantikan oleh seluruh umat Islam yang beriman, kerana didalamnya terkandung seribu satu keindahan. Lebih-lebih lagi,keutuhan ukhuwah yang pasti terpatri dikala Ramadhan tiba, kerana didalamnya penuh dengan keberkatan, sebagaimana firman Allah, maksudnya :
إنا أنزلناه في ليلة مباركة إنامنذرين (3) فيها يفرق كل أمر حكيم (4)
“Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Qur’an) pada suatu malam (Lailatul Qadr) yang diberkati. Dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam yang berkat itu, dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah” [Ad-Dukhan : 3-4]
Kesatuan dan keutuhan sesebuah organisasi sangat bersangkutan dengan sikap saling memahami. Justeru, tarbiah Ramadhan sangat berkaitan dalam membentuk kesatuan sejak difardhukan lagi. Hal ini yang demikian adalah kerana, hikmah pelaksanaan ibadah puasa itu mendidik orang yang berkemampuan untuk memahami dan merasai penderitaan fakir miskin. Sehinggakan kehidupan mereka ini diibaratkan “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.
Kehidupan yang sentiasa dililiti rasa kelaparan, setiap hari dan waktu. Perasaan lapar inilah yang harus dirasai oleh setiap orang yang berpuasa, dengan yang demikian diharapkan mereka yang berkemampuan akan memberikaan perhatian ,belas kasihan, tolong-menolong, infaq dan sedekah kepada orang-orang miskin. Maka akan terjalinlah hubungan yang harmoni ,dan saling menguntungkan antara satu sama lain. Oleh sebab yang demikian maka, terjalinlah kesatuan umat.
Kehidupan yang sentiasa dililiti rasa kelaparan, setiap hari dan waktu. Perasaan lapar inilah yang harus dirasai oleh setiap orang yang berpuasa, dengan yang demikian diharapkan mereka yang berkemampuan akan memberikaan perhatian ,belas kasihan, tolong-menolong, infaq dan sedekah kepada orang-orang miskin. Maka akan terjalinlah hubungan yang harmoni ,dan saling menguntungkan antara satu sama lain. Oleh sebab yang demikian maka, terjalinlah kesatuan umat.
Selain daripada itu, pembayaran zakat, infaq dan sedekah kepada fakir miskin ketika Ramadhan juga memupuk sikap ambil peduli dan prihatin terhadap nasib insan yang malang. Disebabkan itulah maka akan lahirlah persaudaraan tidak mengira pangkat ataupun darjat.
Malah, kesemua ibadah ,secara umumnya menyasarkan kepada kesatuan umat. Solat umpamanya, perintah Allah yang dilakukan secara berjemaah, bahkan terdapat ulama’ yang mensyaratkan pelaksanaan secara berjemaah adalah harus. Tambahan pula, solat sunat terawih disunatkan pada bulan Ramadhan dan juga secara bejemaah. Ini menunjukkan supaya umat Islam, dapat meluangkan masa untuk lebih saling mengenali, sehingga terjalin ukhuwah Islamiah, seterusnya terbentuklah umat yang bersatu.
Dalam erti kata lain, kesatuan umat adalah tujuan utama dalam setiap ibadah dan amalan dalam Islam, kerana ia merupakan tunggak yang mengukuhkan sesebuah negara. Persatuan dan kesatuan umat adalah penentu keteguhan dan luasnya penyebaran hukum Islam dalam sesebuah masyarakat. Oleh yang demikian, jadilah tarbiah Ramadhan sebagai momentum kesatuan umat, kerana perpecahan adalah kelemahan, bahkan penyebab kehancuran.
Akhirnya,marilah kita bersama-sama menyatupadukan hati kita dalam meraih redha Allah di malam-malam terakhir Ramadhan ini,seperti mana yang kita ketahui,malam-malam terakhir ini adalah fasa pembebasan diri dari api neraka, dan rebutlah ganjaran yang berlipat kali ganda di bulan yang penuh dengan keberkatan ini yang terkandung di dalamnya malam yang terbaik dari seribu malam(Lailatul Qadar).Semoga Allah sentiasa permudahkan segala urusan dan menerima segala amalan kita dengan berkat kesungguhan yang kita laksanakan.InsyaAllah.
Wassalam.
“Kesatuan Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”
“Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah”
Hanisah Abd Rani
Unit Sambutan & Rehlah,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 11/12.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan