Khamis, 18 Oktober 2012

MENJANA IDEA PEMIKIR


Generasi ulamak yang dicita-citakan adalah generasi yang mampu menguasai perbendaharaan ilmu Islam semantap mungkin.

Pada masa yang sama juga, dapat mengembangkan ufuk pemikirannya(horizontal) dengan ilmu-ilmu sains kemasyarakatan seperti sosiologi, antropologi, ekonomi, sains fundamental dan sebagainya. Agar sentiasa mampu menghurai segala kemusykilan hukum semasa dengan jawapan-jawapan yang tepat dengan maqasid syariah itu sendiri.

Inilah golongan ulamak yang mampu menguasai feqh dakwah kontemporari yang sesuai dengan susuk masyarakat majmuk , budaya dan agama bagi menyampaikan risalah Islam yang serasi dengan  pemikiran saintifik masyarakat zaman moden hari ini.

Inilah golongan ulamak muda yang memiliki landasan dan disiplin yang jelas dalam berfikir dan bertindak.Memahami perkara-perkara yang tetap dan kekal (ath-thawabit) dan perkara-perkara yang fleksibel (al-mutaghayirat) dalam kehidupan dan perjuangan.

Mereka inilah golongan yang mahir methodologi penyelidikan syariah itu sendiri iaitu Usul Feqh dan juga tekun dengan perubahan persekitaran melalui kaedah penyelidikan sains sosial.

Landasan pemikiran yang teguh dan kekuatan dalam bidang penyelidikan ini akan melahirkan ijtihad, fatwa dan pandangan berwibawa dan dihormati.
[PETIKAN UCAPAN DASAR PRESIDEN PMIUM dan MPMUM 2004/2005]

1      Ciri-ciri Pemikir Yang Aktif

Selari dengan arus globalisasi, pemikir yang aktif sangat diperlukan bagi menangani segala masalah yang berlaku terhadap golongan masyarakat.

Tanggungjawab membentuk dan melahirkan golongan pemikir yang aktif bukan sahaja terpundak di atas bahu pimpinan malahan ia juga salah satu daripada tanggungjawab individu terbabit.

Pemikir yang aktif dapat membantu pembentukan negara manakala pemikir yang pasif akan melambatkan perjalanan sesebuah negara untuk mencapai kemajuan.

Dua asas utama untuk menjadi seorang pemikir iaitu otak dan juga akal yang waras. Tanpa dua asas ini maka seseorang individu tidak mampu mengolah  apatahlagi berfikir dengan bernas.

Menghasilkan individu pemikir yang berjaya juga memerlukan beberapa elemen penting iaitu menerusi lihat, sentuh dan juga dengar.

Golongan pemikir juga dikenali dengan nama lain iaitu ilmuan, daie, pakar dan juga ahli falsafah.

Golongan pemikir yang aktif dan kreatif selalunya akan menghasilkan idea dan buah fikiran yang jelas dan bernas serta difahami dengan mudah oleh masyarakat sekeliling.

Mereka menyedari tentang nilai dan juga manfaat yang terhasil daripada setiap kesimpulan dan keputusan yang telah mereka lakukan.

Manfaat itu haruslah diperolehi secara seimbang dan sama dirasai kebaikannya oleh semua golongan tidak kira tua mahupun yang muda.Keputusan dan kesimpulan itu juga haruslah selari dengan hukum syarak.

Seorang pemikir yang  aktif juga berfikiran terbuka dengan segala cadangan mahupun muhasabah tentang kelemahan dirinya sendiri. Setiap pandangan dan hujah yang diberikan oleh mereka selalunya berdasarkan fakta bukan hanya berdasarkan pandangan peribadi semata.

Mereka juga tidak takut untuk berbeza pendapat dengan orang lain dan bersama-sama saling bantu membantu untuk menghasilkan keputusan dan kesimpulan yang terbaik.

Sifat utama yang perlu ada dalam diri seorang pemikir adalah cintakan ilmu dan juga mempunyai keunikan cara berfikir secara tersendiri. Tanpa ilmu pengetahuan yang luas tidak akan mampu menghasilkan idea dan tahap pemikiran yang terbaik.

      Watak Seorang Pemikir Yang Pasif

Manakala pemikir yang pasif pula selalunya sering berfikir secara kabur dan tidak jelas tujuan dan matlamatnya.

Mereka juga sukar menerima teguran dan kritikan orang lain. Pandangan dan idea mereka juga lebih kepada mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan keperluan masyarakat sekeliling.

Seorang pemikir yang pasif juga selalu goyah dan cepat menyerah kalah andai idea dan pandangan mereka bertentangan dengan ahli mesyuarat yang lain.

Kesimpulan

Golongan pemikir sangat diperlukan dan ia digeruni oleh musuh. Tanpa golongan pemikir ini maka susah untuk sesebuah organisasi mahupun persatuan  untuk merancang dan menggerakkan segala gerak kerja.

Seorang pemikir yang rabbani juga diperlukan agar setiap idea dan juga kesimpulan tidak lari daripada hukum syariat dan juga berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.

Akhirnya, berusahalah dengan mendalami ilmu pemikiran agar cita-cita untuk menjadi seorang pemikir yang mampu memimpin negara dan umat Islam pada masa hadapan kelak akan menjadi kenyataan.

Negara bukan sahaja memerlukan pemikir yang berfikiran terbuka semata tetapi juga memerlukan pemikir yang tahu dan faham tentang tuntutan agama.

Bertetapan dengan usul HEWI PMRAM pada tahun ini, ‘Memperanankan Mahasiswi Berketerampilan’, marilah kita bersama-sama menjana dan menyumbang segala idea dan buah fikiran demi melahirkan mahasiswi yang berintegriti dan bijak dari segala aspek.InsyaAllah.

“Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”
“Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah”


Salam Perjuangan,

NURUL AZIELA BINTI MOHD NASIR,
TIMBALAN KETUA HEWI (LAJNAH PENERANGAN DAN PENERBITAN),
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2011/2012

Rabu, 3 Oktober 2012

KUASAI '4K', ANDA EFEKTIF!


Sabda Rasulullah S.A.W: Barangsiapa yang mengucapkan لا اله الا الله   (tiada tuhan yang disembah selain Allah) maka dia adalah seorang daie (pendakwah).

 

Skop dakwah amat luas. Pelbagai medium boleh digunakan dalam menyampaikan dakwah. Ia tidak hanya dengan cara memberi ceramah di khalayak ramai melalui kaca-kaca televisyen atau corong-corong radio sahaja, bahkan ia juga dapat disampaikan melalui perilaku baik seseorang individu terhadap orang lain.

 

Kita lihat sahaja bagaimana akhlak mulia Baginda Nabi S.A.W dapat menarik jiwa seorang buta yang amat benci akan Islam untuk menganuti agama suci tersebut secara rela. Tanpa pernah jemu dan putus asa, setiap hari Rasulullah S.A.W menyuap makanan ke mulut si buta itu walaupun dia telah banyak mengutuk dan menghina nabi serta agama Islam itu sendiri.

 

Setelah Baginda wafat, barulah dia mengetahui bahawa orang yang memberinya makan setiap hari adalah insan yang dihina selama ini. Oleh sebab peribadi mulia yang dipamerkan oleh nabi kita Muhammad S.A.W, si buta itu akhirnya tertarik untuk memeluk Islam tanpa dipaksa.

 

Di sini timbul satu persoalan. Rasul itu bersifat maksum, bagaimana pula kita sebagai insan biasa dapat menjadi pendakwah yang efektif sepertimana Nabi S.A.W? Cuba kita perbaiki elemen 4K untuk merealisasikan impian ini. Apakah pula yang dimaksudkan dengan 4K ?

 

1. KETERAMPILAN

 

Keterampilan bermaksud gaya penampilan fizikal, pandangan kita terhadap diri sendiri dan pandangan orang lain terhadap diri kita serta keyakinan diri yang terdapat di dalam hati.

 

Keterampilan diri yang positif amat penting dalam berdakwah. Semasa orang mula-mula melihat kita, atau sewaktu kita mula diperkenalkan kepada orang itu, dia tidak tahu apa-apa berkenaan diri kita.

 

Bagaimana seseorang itu boleh mengetahui sama ada kita ini baik atau tidak? Pastinya dia akan melihat kepada penampilan luaran terlebih dahulu. Keterampilan yang baik dapat mempercepatkan terbinanya rasa rapat dan akrab dalam hati orang lain terhadap diri kita.

 

Dengan berpakaian kemas dan bersih contohnya boleh menyebabkan orang- orang lain di sekeliling kita berasa selesa dan seronok dengan kehadiran kita. Akibatnya, komunikasi dan hubungan dalam menyampaikan dakwah akan menjadi lebih mudah, lancar dan berkesan. Sebaliknya, keterampilan yang tidak baik, menimbulkan kesan negatif kepada komunikasi dan hubungan peribadi.

 

 

2. KREDIBILITI

 

Kredibiliti merupakan sifat boleh dipercayai atau diyakini. Kita perlu menentukan sejauh mana pentingnya kredibiliti kita kepada mad’u (sasaran dakwah).

 

Adakah mereka terpengaruh dengan kita disebabkan kedudukan, pangkat, kepakaran, pengalaman, tahap ilmu atau amalan baik kita?.

 

Sebagai contoh, seseorang yang memiliki tahap ilmu yang tinggi dan dia menyedari bahawa ilmu merupakan daya tarikan utama pada dirinya, maka akan lebih mudah baginya untuk menarik ramai mad’u jika dia berusaha untuk menambah lagi ilmu yang dimiliki.

 

Akan tetapi, jika kredibiliti seseorang merosot disebabkan perbuatan-perbuatan yang boleh mencalarkan maruahnya, maka sasaran dakwah akan melarikan diri darinya.

 

3. KEMAHIRAN

 

Setiap manusia dikurniakan kemahiran atau bakat yang berbeza-beza. Ada dalam kalangan kita yang memiliki kebolehan semulajadi dalam berbicara. Ada juga yang berbakat dalam bidang kepimpinan. Sebahagian yang lain pula pakar dalam bidang penulisan, muzik, teknologi maklumat, masakan dan sebagainya.

 

Apa pun kemahiran yang kita perolehi, kita seharusnya memanfaatkannya semaksimum mungkin supaya ianya dapat menyumbang kearah jalan dakwah yang sebenar. Islam itu mudah dan fleksibel, semuanya terserah kepada kita untuk mempelbagaikannya selagi mana tidak bertentangan dengan syara’.

 

4. KOMUNIKASI

 

Secara ringkas, komunikasi bermaksud pertukaran dan pemahaman maklumat antara pihak-pihak terlibat. Untuk mendapatkan komunikasi yang berkesan, seorang daie perlu bijak menyampaikan dakwah mengikut kesesuaian peringkat umur, tahap pemikiran, cara hidup serta kedudukan sasaran dakwah tersebut.

Situasi dan keadaan emosi mereka juga perlu dititikberatkan dalam berkomunikasi. Jika dia seorang yang sensitif misalnya, maka kita perlu menjaga setiap tutur kata agar tidak menyinggung perasaannya.

Daie yang paling agung, Nabi Muhammad S.A.W suatu ketika dahulu pernah ditanya soalan yang sama dari dua orang yang berbeza. Walaubagaimanapun, Baginda telah memberikan jawapan yang berbeza berdasarkan tahap penerimaan mereka yang berbeza.

KESIMPULAN

Bertepatan dengan subtopik pembawakan tema HEWI BKPJM 2011/2012 iaitu Melahirkan Syakhsiah Azhariah Yang Berkualiti, sebagai seorang azhariah dan mahasiswi, kita perlu koreksi kesemua elemen 4K ini di dalam diri kita untuk menjadi daie yang efektif, supaya segala ilmu yang kita peroleh dapat diterjemah secara praktikal dan memanipulasi ilmu tersebut secara bijaksana, agar kita mampu terus maju dan pantas kehadapan sebaris dengan para ilmuan tulen serta dapat meningkatkan kualiti azhariah itu sendiri.

Disamping itu, kita haruslah menjaga hubungan dengan Allah S.W.T kerana Dialah satu-satunya kuasa yang dapat mempermudahkan urusan kita dalam menempuhi medan dakwah yang berliku ini.

Sepertimana kata-kata Saidina Ali Karramallahu Wajhah: ‘‘Sesiapa yang memperbaiki dalamannya (hatinya), nescaya Allah akan memperbaiki luarannya (perbuatan zahirnya). Sesiapa yang bekerja untuk agamanya, nescaya Allah akan menyempurnakan urusan dunianya. Sesiapa yang memperelokkan hubungannya dengan Allah, nescaya Allah akan memperelokkan hubungannya dengan manusia yang lain.’’

“Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”
“Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah”

Sekian,Wassalam.

Amira Afina Binti Jamaludin
Unit Kebajikan&Tabung Derma
(Pemangku Unit Dakwah&Tarbiah)
Hal Ehwal Wanita Islam
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir
Sesi 2011/2012.