“Generasi ulamak yang dicita-citakan adalah generasi
yang mampu menguasai perbendaharaan ilmu Islam semantap mungkin.
Pada masa yang sama
juga, dapat mengembangkan ufuk pemikirannya(horizontal) dengan ilmu-ilmu
sains kemasyarakatan seperti sosiologi, antropologi, ekonomi, sains fundamental
dan sebagainya. Agar sentiasa mampu menghurai segala kemusykilan hukum semasa
dengan jawapan-jawapan yang tepat dengan maqasid syariah itu sendiri.
Inilah golongan ulamak yang mampu menguasai feqh dakwah
kontemporari yang sesuai dengan susuk masyarakat majmuk , budaya dan agama bagi
menyampaikan risalah Islam yang serasi dengan
pemikiran saintifik masyarakat zaman moden hari ini.
Inilah golongan
ulamak muda yang memiliki landasan dan disiplin yang jelas dalam berfikir dan
bertindak.Memahami perkara-perkara yang tetap dan kekal (ath-thawabit)
dan perkara-perkara yang fleksibel (al-mutaghayirat) dalam kehidupan dan
perjuangan.
Mereka inilah golongan yang mahir methodologi penyelidikan syariah
itu sendiri iaitu Usul Feqh dan juga tekun dengan perubahan persekitaran
melalui kaedah penyelidikan sains sosial.
Landasan pemikiran
yang teguh dan kekuatan dalam bidang penyelidikan ini akan melahirkan ijtihad, fatwa
dan pandangan berwibawa dan dihormati.”
[PETIKAN UCAPAN DASAR PRESIDEN PMIUM dan MPMUM 2004/2005]
1 Ciri-ciri Pemikir
Yang Aktif
Selari dengan arus globalisasi, pemikir yang aktif sangat
diperlukan bagi menangani segala masalah yang berlaku terhadap golongan
masyarakat.
Tanggungjawab
membentuk dan melahirkan golongan pemikir yang aktif bukan sahaja terpundak di
atas bahu pimpinan malahan ia juga salah satu daripada tanggungjawab individu
terbabit.
Pemikir yang aktif
dapat membantu pembentukan negara manakala pemikir yang pasif akan melambatkan
perjalanan sesebuah negara untuk mencapai kemajuan.
Dua asas utama untuk menjadi seorang pemikir iaitu otak dan
juga akal yang waras. Tanpa dua asas ini maka seseorang individu tidak mampu
mengolah apatahlagi berfikir dengan bernas.
Menghasilkan individu
pemikir yang berjaya juga memerlukan beberapa elemen penting iaitu menerusi
lihat, sentuh dan juga dengar.
Golongan pemikir juga dikenali dengan nama lain iaitu
ilmuan, daie, pakar dan juga ahli falsafah.
Golongan pemikir yang aktif dan kreatif selalunya akan
menghasilkan idea dan buah fikiran yang jelas dan bernas serta difahami dengan
mudah oleh masyarakat sekeliling.
Mereka menyedari tentang nilai dan juga manfaat yang
terhasil daripada setiap kesimpulan dan keputusan yang telah mereka lakukan.
Manfaat itu haruslah diperolehi secara seimbang dan sama
dirasai kebaikannya oleh semua golongan tidak kira tua mahupun yang
muda.Keputusan dan kesimpulan itu juga haruslah selari dengan hukum syarak.
Seorang pemikir
yang aktif juga berfikiran terbuka
dengan segala cadangan mahupun muhasabah tentang kelemahan dirinya sendiri.
Setiap pandangan dan hujah yang diberikan oleh mereka selalunya berdasarkan
fakta bukan hanya berdasarkan pandangan peribadi semata.
Mereka juga tidak takut untuk berbeza pendapat dengan orang
lain dan bersama-sama saling bantu membantu untuk menghasilkan keputusan dan
kesimpulan yang terbaik.
Sifat utama yang
perlu ada dalam diri seorang pemikir adalah cintakan ilmu dan juga mempunyai
keunikan cara berfikir secara tersendiri. Tanpa ilmu pengetahuan yang luas
tidak akan mampu menghasilkan idea dan tahap pemikiran yang terbaik.
2 Watak Seorang
Pemikir Yang Pasif
Manakala pemikir yang pasif pula selalunya sering berfikir
secara kabur dan tidak jelas tujuan dan matlamatnya.
Mereka juga sukar
menerima teguran dan kritikan orang lain. Pandangan dan idea mereka juga lebih
kepada mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan keperluan masyarakat
sekeliling.
Seorang pemikir yang
pasif juga selalu goyah dan cepat menyerah kalah andai idea dan pandangan
mereka bertentangan dengan ahli mesyuarat yang lain.
Kesimpulan
Golongan pemikir sangat diperlukan dan ia digeruni oleh
musuh. Tanpa golongan pemikir ini maka susah untuk sesebuah organisasi mahupun
persatuan untuk merancang dan
menggerakkan segala gerak kerja.
Seorang pemikir yang rabbani juga diperlukan agar setiap
idea dan juga kesimpulan tidak lari daripada hukum syariat dan juga berpaksikan
al-Quran dan as-Sunnah.
Akhirnya, berusahalah dengan mendalami ilmu pemikiran agar
cita-cita untuk menjadi seorang pemikir yang mampu memimpin negara dan umat
Islam pada masa hadapan kelak akan menjadi kenyataan.
Negara bukan sahaja
memerlukan pemikir yang berfikiran terbuka semata tetapi juga memerlukan
pemikir yang tahu dan faham tentang tuntutan agama.
Bertetapan dengan usul HEWI PMRAM pada tahun ini, ‘Memperanankan
Mahasiswi Berketerampilan’, marilah kita bersama-sama menjana dan menyumbang
segala idea dan buah fikiran demi melahirkan mahasiswi yang berintegriti dan
bijak dari segala aspek.InsyaAllah.
“Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”
“Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah”
NURUL AZIELA BINTI MOHD NASIR,
TIMBALAN KETUA HEWI (LAJNAH PENERANGAN DAN PENERBITAN),
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR
2011/2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan