Ahad, 12 Oktober 2014

AKU BUKAN SUPERHERO


وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على اللاثم والعدون
Dan tolong-menolonglah dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa dan jangan tolong –menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.
(Surah Al-Maidah:2)
Wahyu cintaNYA di atas membuktikan bahawa Islam ialah satu agama yang sempurna, tinggi lagi unggul. Anjuran ALLAH ‘Tolong-menolonglah’  di dalam ayatNYA menunjukkan betapa pentingnya sikap kebersamaan dalam melakukan sesuatu perkara. Ia tidak mengajar umatnya hidup bersendiri-sendiri sebagaimana umat barat, malah dia telah mengajar kita mempersaudarakan antara individu-individu umatnya menjadi hidup bersaudara yang menghendaki mereka untuk turut serta bergaul bersama insan yang lain.
Seorang insan itu seharusnyanya tidak bersikap individualistik ketika melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan seharian.Sepertimana yang kita ketahui,Kita bukanlah seperti watak kartunis superhero di televisyen yang bisa melakukan segala kerja dalam sekelip mata tetapi kita hanyalah hambaNYA yang lemah dan sentiasa memerlukan bantuan daripada insan lain.Tanpa bantuan makhluk lain maka kita umpama satu ranting yang mudah patah berbanding seikat ranting yang sesekali tidak akan patah.
         
         Sekali sekala cuba kita timbulkan persoalan dalam benak fikiran mengapa Rasulullah mengatakan solat berjemaah itu lebih afdhal daripada solat secara bersendirian?Cuba kita fikir pula mengapa pahala bagi yang berjemaah itu 27 tetapi pahala bagi yang solat bersendirian itu hanya satu?Nah!Tidak lain tidak bukan adalah untuk mengajar kita betapa pentingnya  hidup bermasyarakat serta  menerangkan kepada kita bahawa adanya keberkatan di dalamnya.Dengan berjemaah kehidupan seseorang itu akan lebih tersusun dan teratur lebih-lebih lagi ketika melakukan sesuatu perkerjaan.

          Di samping itu,seseorang juga akan lebih mendapat kekuatan  dan lebih bersemangat dalam melakukan perkerjaan apabila ada insan-insan lain yang sentiasa menjadi pendokung setia mereka dalam menguatkan antara satu sama lain sepertimana yang disebutkan dalam hadis baginda s.a.w:
عن أبي موسى اللأشعري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:ان المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعض
Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a,Nabi s.a.w bersabda:”Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan,sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.

         Selain itu,jika kita soroti kembali sirah perjuangan para Anbiyaa,kebanyakan kemenangan Islam itu bukan hanya atas dasar keimanan yang teguh kepada ALLAH Taala bahkan atas dasar kerjasama yang baik antara saudara semukmin yang lain baik pertolongan dari aspek kewangan,persiapan,jasmani serta rohani.Di dalam surah Nabi Musa a.s juga memohon kepada ALLAH supaya diberikan teman iaitu Nabi Khidir a.s ketika diperintahkan berdakwah kepada firaun serta rakyatnya.

        
            Tuntasnya,dapatlah kita simpulkan bahawasanya setiap daripada kita bukanlah SUPERHERO tetapi adalah SUPERHAMBA Allah yang  tidak lari daripada memerlukan pertolongan insan lain serta tetap memerlukan nusroh daripada Allah Taala.Hanya dengan berkumpulan maka kita dapat kembali bersatu.Hanya dengan berjemaah jua kita dapat bersama menegakkan kembali
daulah Islamiyyah yang telah  jatuh selama 90 tahun.

         Oleh itu,mari kita bersama membudayakan sifat sukakan berjemaah bak kata pepatah ‘Yang Berat Sama Dipikul,Yang Ringan Sama Dijinjing’ di dalam kehidupan.
WaAllahua’lam.

"Thaqafah Cemerlang Kesatuan Gemilang"
"Memposisi Mahasiswi Berintegriti, Membentuk Generasi Bersinergi"

Nur Hazirah Husna Binti Md Rafpidin
Unit Kebajikan Dan Tabung Derma HEWI
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir 13/14

Jumaat, 3 Oktober 2014

Bumi Musa ~ Firaun ; Ladang Tarbiah

Bumi Musa-Firaun ; Ladang Tarbiah


   Firman Allah SWT : “Masuklah kamu ke dalam Mesir, InsyaAllah aman”
( Surah Yunus :Ayat 87)  

Mesir , Kota tamadun islam yang bukan sahaja kaya dengan sirah Anbiya’ serta khazanah bahkan tersangat kaya dengan gedung ILMUNYA. Kedudukannya yang strategik yang terletak di bahagian Timur Laut Afrika,  menjadi tumpuan pendatang asing untuk menziarahi negara ini. Di sini juga wujudnya Universiti Al Azhar, universiti tertua di dunia yang dibina pada abad ke sepuluh. Kehebatannya  di dalam bidang ilmu sangat meluas, meliputi seluruh aspek duniawi dan ukhrawi seperti ilmu fiqh, tauhid, tasauf, ilmu perubatan, kejuruteraan, dan sebagainya.
            
            Langkah pertama untuk seseorang yang menuntut ilmu adalah membebaskan diri dari niat yang keji, dan bermotifkan keduniaan. Sebagaimana hadith nabi yang masyhur riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim : “Sesungguhnya setiap sesuatu itu dimulai dengan niat, dan setiap seseorang itu adalah mengikut apa yang diniatkannya”. Sesuatu perkara itu perlulah didasari dengan niat kerana ALLAH.Tanpa niat keranaNYA  maka sesuatu perkara yang ingin dilakukan mudah terjerumus kearah kemaksiatan. Tuntasnya, tuntutlah ilmu ikhlas kerana Allah, bukan untuk mendapatkan sanjungan dan kemuliaan.
            
            Tidak dapat disangkal lagi limpahan ilmu yang berada di bumi sahara bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Pelapis ulama lahir saban tahun dari pelbagai negara hasil daripada tarbiyah bumi Mesir. Ibn Abdil Bar meriwayatkan dari Imam al Auzaie ia berkata : “Tidaklah hilang ilmu (agama) melainkan dengan hilangnya sanad-sanad (ilmu agama tersebut). Dalam masa yang sama, seseorang perlu bijak memilih masyaikh agar tidak terpesong daripada landasan yang benar kerana akan muncul golongan yang tidak mempunyai latar belakang keilmuan dalam bidang agama yang memadai berdiri di hadapan khalayak lalu berbicara dalam urusan agama tanpa kelayakan.

Mesir ini bukan sahaja kaya dengan ilmu, malahan cabaran melalui liku kehidupan juga tidak kurang hebatnya. Jalan seorang pejuang itu pastinya berbalut ranjau dan duri. Kadangkala apa yang diimpikan tidak selalunya  menjadi kenyataan.Di sinilah peri pentingnya Redha terhadap segala ketentuan Allah sebagai landasan orang beriman. Sepertimana yang dapat kita telusuri melalui kisah Nabi Yusuf semasa beliau dipenjarakan kerana difitnah- di dalam Surah Yusuf ayat 33, “Wahai tuhanku penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka”.

Malahan ta’rifan ilmu itu mencakupi seluruh aspek bahkan ilmu itu bukanlah hanya terdapat dikuliah-kuliah dan didalam kitab-kitab atau dengan berguru sahaja. Selain daripada itu, pengalaman juga merupakan ilmu atau guru yang terbaik,akan tetapi guru yang berpengalaman belum tentu dia merupakan guru yang terbaik. Pengalamanlah mengajar erti kehidupan.

Akhirnya, Firman Allah SWT di dalam Surah Al Mujadalah :
“Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan”.

Sesungguhnya ilmu apabila didapati dengan kesucian tanpa kepentingan hati, dan niat yang ikhlas kerana Allah, akan mengubah personaliti seseorang menjadi lebih baik. Semoga dengan kedatangan para penuntut ilmu  di bumi anbiya’ bakal menjadi pelapis ulamak, pembimbing ummah pada masa akan datang.


"THAQAFAH CEMERLANG KESATUAN GEMILANG"
"MEMPOSISI MAHASISWI BERINTEGRITI, MEMBENTUK GENERASI BERSINERGI"

Shahidah Binti Abdul Hadi
Unit Perumahan HEWI (Lajnah Kesenian, Kebudayaan & Sukan HEWI)
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir 13/14