Firman
Allah SWT : “Masuklah kamu ke dalam Mesir, InsyaAllah aman”
( Surah Yunus :Ayat 87)
( Surah Yunus :Ayat 87)
Mesir , Kota tamadun
islam yang bukan sahaja kaya dengan sirah Anbiya’ serta khazanah bahkan
tersangat kaya dengan gedung ILMUNYA. Kedudukannya yang strategik yang terletak
di bahagian Timur Laut Afrika, menjadi
tumpuan pendatang asing untuk menziarahi negara ini. Di sini juga wujudnya
Universiti Al Azhar, universiti tertua di dunia yang dibina pada abad ke
sepuluh. Kehebatannya di dalam bidang
ilmu sangat meluas, meliputi seluruh aspek duniawi dan ukhrawi seperti ilmu
fiqh, tauhid, tasauf, ilmu perubatan, kejuruteraan, dan sebagainya.
Langkah
pertama untuk seseorang yang menuntut ilmu adalah membebaskan diri dari niat
yang keji, dan bermotifkan keduniaan. Sebagaimana hadith nabi yang masyhur
riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim : “Sesungguhnya setiap sesuatu itu dimulai
dengan niat, dan setiap seseorang itu adalah mengikut apa yang diniatkannya”. Sesuatu
perkara itu perlulah didasari dengan niat kerana ALLAH.Tanpa niat keranaNYA maka sesuatu perkara yang ingin dilakukan
mudah terjerumus kearah kemaksiatan. Tuntasnya, tuntutlah ilmu ikhlas kerana
Allah, bukan untuk mendapatkan sanjungan dan kemuliaan.
Tidak
dapat disangkal lagi limpahan ilmu yang berada di bumi sahara bagai cendawan
yang tumbuh selepas hujan. Pelapis ulama lahir saban tahun dari pelbagai negara
hasil daripada tarbiyah bumi Mesir. Ibn Abdil Bar meriwayatkan dari Imam al
Auzaie ia berkata : “Tidaklah hilang ilmu (agama) melainkan dengan hilangnya
sanad-sanad (ilmu agama tersebut). Dalam masa yang sama, seseorang perlu bijak
memilih masyaikh agar tidak terpesong daripada landasan yang benar kerana akan
muncul golongan yang tidak mempunyai latar belakang keilmuan dalam bidang agama
yang memadai berdiri di hadapan khalayak lalu berbicara dalam urusan agama
tanpa kelayakan.
Mesir ini bukan
sahaja kaya dengan ilmu, malahan cabaran melalui liku kehidupan juga tidak
kurang hebatnya. Jalan seorang pejuang itu pastinya berbalut ranjau dan duri.
Kadangkala apa yang diimpikan tidak selalunya menjadi kenyataan.Di sinilah peri pentingnya
Redha terhadap segala ketentuan Allah sebagai landasan orang beriman.
Sepertimana yang dapat kita telusuri melalui kisah Nabi Yusuf semasa beliau
dipenjarakan kerana difitnah- di dalam Surah Yusuf ayat 33, “Wahai tuhanku
penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka”.
Malahan ta’rifan
ilmu itu mencakupi seluruh aspek bahkan ilmu itu bukanlah hanya terdapat
dikuliah-kuliah dan didalam kitab-kitab atau dengan berguru sahaja. Selain daripada
itu, pengalaman juga merupakan ilmu atau guru yang terbaik,akan tetapi guru
yang berpengalaman belum tentu dia merupakan guru yang terbaik. Pengalamanlah mengajar
erti kehidupan.
Akhirnya, Firman
Allah SWT di dalam Surah Al Mujadalah :
“Allah akan
meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang
diberi ilmu pengetahuan”.
Sesungguhnya ilmu
apabila didapati dengan kesucian tanpa kepentingan hati, dan niat yang ikhlas
kerana Allah, akan mengubah personaliti seseorang menjadi lebih baik. Semoga
dengan kedatangan para penuntut ilmu di
bumi anbiya’ bakal menjadi pelapis ulamak, pembimbing ummah pada masa akan
datang.
"THAQAFAH CEMERLANG KESATUAN GEMILANG"
"MEMPOSISI MAHASISWI BERINTEGRITI, MEMBENTUK GENERASI BERSINERGI"
"MEMPOSISI MAHASISWI BERINTEGRITI, MEMBENTUK GENERASI BERSINERGI"
Shahidah Binti Abdul Hadi
Unit Perumahan HEWI (Lajnah Kesenian, Kebudayaan & Sukan HEWI)
Unit Perumahan HEWI (Lajnah Kesenian, Kebudayaan & Sukan HEWI)
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir 13/14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan