Apabila Ramadhan kembali lagi membuatkan insan bergelar Muslim tersenyum bahagia. Kehadiran Ramadhan al-Mubarak sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah SWT. Penantian ini benar-benar dirindui kerana Ramadhan umpama suatu pakej istimewa daripada Allah SWT dengan pelbagai ganjaran yang dikhususkan khas buat mereka yang bersungguh-sungguh melakukan ketaatan dan amal soleh. Lantaran itu, pentingnya setiap insan yang bergelar muslim untuk sedar dan memahami objektif terbesar kewajipan berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredhaan Allah.Sepertimana firman Sang Khaliq:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183)
Takwa kepada Allah S.W.T menjadi tujuan dan harapan bagi setiap muslim dalam bulan mulia ini. Takwa secara ringkas bermaksud melakukan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya. Namun hakikat erti sebenar ‘takwa’ adalah hadirnya sifat hati-hati dan takut dalam diri makhluk. Maksud ini dilaksanakan melalui arahan berpuasa yang hakikatnya bukanlah setakat menahan diri daripada makan minum tetapi jauh lebih besar lagi adalah meninggalkan segala larangan seperti menipu, mengumpat, bertelingkah, boros berbelanja, membazir, makan harta riba, berjudi dan sebagainya.
Madrasah Ramadhan mengajar kita supaya sentiasa melakukan kebaikan kerana pahalanya adalah berlipat kali ganda. Oleh itu, amalan tadarus al-Quran, qiamullail, solat berjemaah, tarawih, tazkirah, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, memberi makan anak yatim dan sebagainya hendaklah menjadi agenda kita sehari-harian dalam bulan berkat ini. Mereka yang menghidupkan amalan Ramadan dijanjikan dengan rahmat tanpa batasan dan diluaskan pintu keampunan. Rasulullah s.a.w bersabda:
“ Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan dengan keimanan dan mengharap (keampunan) daripada Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Di samping itu, madrasah Ramadhan di dalamnya terdapat malam lailatul Qadar juga merupakan medan terbaik untuk difokuskan kepada proses pembangunan diri seperti melakukan aktiviti kebaikan, kebajikan dan kemasyarakatan kerana memberi manfaat kepada insan yang lain merupakan kebaikan yang disukai oleh Allah s.w.t dan perbuatan yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana sabda baginda:
“Sebaik-baik manusia ialah memberi manfaat kepada makhluk yang lain”
(Riwayat Al-Baihaqi )
Selain itu, Ramadhan adalah saat untuk kita menajamkan naluri kejiwaan kita untuk terus menerus berdamping dengan Allah S.W.T. Kerja-kerja pembangunan ummah melalui dakwah dan tarbiah amat bergantung kepada kebersihan hati dan keikhlasan jiwa para pendokong, pekerja dan duat itu sendiri. Justeru, Ramadhan ini adalah bulan terbaik untuk Muslim kembali mensucikan jiwa, memperbaiki diri, mempercantikkan akhlak serta mempergiatkan lagi usaha-usaha dakwah dan tarbiah di samping tidak lupa mendoakan serta membantu nasib saudara-saudara kita yang tertindas di Palestin,Rohingya, Myammar, Selatan Thailand, Syria, Iraq, Somalia dan lain-lain lagi.
Akhirnya,marilah kita bersama saling berlumba memperbaiki jiwa dan diri serta melakukan kebaikan di bulan yang dimuliakan oleh Allah ini. Semoga Ramadhan pada tahun ini benar-benar meninggalkan kesan dan impak yang mendalam kepada kita untuk bermujahadah menjadi hamba Rabbani yang diredhai-Nya. Ramadhan Kareem. Selamat menjalani ibadah puasa. WaAllahu A’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan