Khamis, 18 Oktober 2012

MENJANA IDEA PEMIKIR


Generasi ulamak yang dicita-citakan adalah generasi yang mampu menguasai perbendaharaan ilmu Islam semantap mungkin.

Pada masa yang sama juga, dapat mengembangkan ufuk pemikirannya(horizontal) dengan ilmu-ilmu sains kemasyarakatan seperti sosiologi, antropologi, ekonomi, sains fundamental dan sebagainya. Agar sentiasa mampu menghurai segala kemusykilan hukum semasa dengan jawapan-jawapan yang tepat dengan maqasid syariah itu sendiri.

Inilah golongan ulamak yang mampu menguasai feqh dakwah kontemporari yang sesuai dengan susuk masyarakat majmuk , budaya dan agama bagi menyampaikan risalah Islam yang serasi dengan  pemikiran saintifik masyarakat zaman moden hari ini.

Inilah golongan ulamak muda yang memiliki landasan dan disiplin yang jelas dalam berfikir dan bertindak.Memahami perkara-perkara yang tetap dan kekal (ath-thawabit) dan perkara-perkara yang fleksibel (al-mutaghayirat) dalam kehidupan dan perjuangan.

Mereka inilah golongan yang mahir methodologi penyelidikan syariah itu sendiri iaitu Usul Feqh dan juga tekun dengan perubahan persekitaran melalui kaedah penyelidikan sains sosial.

Landasan pemikiran yang teguh dan kekuatan dalam bidang penyelidikan ini akan melahirkan ijtihad, fatwa dan pandangan berwibawa dan dihormati.
[PETIKAN UCAPAN DASAR PRESIDEN PMIUM dan MPMUM 2004/2005]

1      Ciri-ciri Pemikir Yang Aktif

Selari dengan arus globalisasi, pemikir yang aktif sangat diperlukan bagi menangani segala masalah yang berlaku terhadap golongan masyarakat.

Tanggungjawab membentuk dan melahirkan golongan pemikir yang aktif bukan sahaja terpundak di atas bahu pimpinan malahan ia juga salah satu daripada tanggungjawab individu terbabit.

Pemikir yang aktif dapat membantu pembentukan negara manakala pemikir yang pasif akan melambatkan perjalanan sesebuah negara untuk mencapai kemajuan.

Dua asas utama untuk menjadi seorang pemikir iaitu otak dan juga akal yang waras. Tanpa dua asas ini maka seseorang individu tidak mampu mengolah  apatahlagi berfikir dengan bernas.

Menghasilkan individu pemikir yang berjaya juga memerlukan beberapa elemen penting iaitu menerusi lihat, sentuh dan juga dengar.

Golongan pemikir juga dikenali dengan nama lain iaitu ilmuan, daie, pakar dan juga ahli falsafah.

Golongan pemikir yang aktif dan kreatif selalunya akan menghasilkan idea dan buah fikiran yang jelas dan bernas serta difahami dengan mudah oleh masyarakat sekeliling.

Mereka menyedari tentang nilai dan juga manfaat yang terhasil daripada setiap kesimpulan dan keputusan yang telah mereka lakukan.

Manfaat itu haruslah diperolehi secara seimbang dan sama dirasai kebaikannya oleh semua golongan tidak kira tua mahupun yang muda.Keputusan dan kesimpulan itu juga haruslah selari dengan hukum syarak.

Seorang pemikir yang  aktif juga berfikiran terbuka dengan segala cadangan mahupun muhasabah tentang kelemahan dirinya sendiri. Setiap pandangan dan hujah yang diberikan oleh mereka selalunya berdasarkan fakta bukan hanya berdasarkan pandangan peribadi semata.

Mereka juga tidak takut untuk berbeza pendapat dengan orang lain dan bersama-sama saling bantu membantu untuk menghasilkan keputusan dan kesimpulan yang terbaik.

Sifat utama yang perlu ada dalam diri seorang pemikir adalah cintakan ilmu dan juga mempunyai keunikan cara berfikir secara tersendiri. Tanpa ilmu pengetahuan yang luas tidak akan mampu menghasilkan idea dan tahap pemikiran yang terbaik.

      Watak Seorang Pemikir Yang Pasif

Manakala pemikir yang pasif pula selalunya sering berfikir secara kabur dan tidak jelas tujuan dan matlamatnya.

Mereka juga sukar menerima teguran dan kritikan orang lain. Pandangan dan idea mereka juga lebih kepada mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan keperluan masyarakat sekeliling.

Seorang pemikir yang pasif juga selalu goyah dan cepat menyerah kalah andai idea dan pandangan mereka bertentangan dengan ahli mesyuarat yang lain.

Kesimpulan

Golongan pemikir sangat diperlukan dan ia digeruni oleh musuh. Tanpa golongan pemikir ini maka susah untuk sesebuah organisasi mahupun persatuan  untuk merancang dan menggerakkan segala gerak kerja.

Seorang pemikir yang rabbani juga diperlukan agar setiap idea dan juga kesimpulan tidak lari daripada hukum syariat dan juga berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.

Akhirnya, berusahalah dengan mendalami ilmu pemikiran agar cita-cita untuk menjadi seorang pemikir yang mampu memimpin negara dan umat Islam pada masa hadapan kelak akan menjadi kenyataan.

Negara bukan sahaja memerlukan pemikir yang berfikiran terbuka semata tetapi juga memerlukan pemikir yang tahu dan faham tentang tuntutan agama.

Bertetapan dengan usul HEWI PMRAM pada tahun ini, ‘Memperanankan Mahasiswi Berketerampilan’, marilah kita bersama-sama menjana dan menyumbang segala idea dan buah fikiran demi melahirkan mahasiswi yang berintegriti dan bijak dari segala aspek.InsyaAllah.

“Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”
“Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah”


Salam Perjuangan,

NURUL AZIELA BINTI MOHD NASIR,
TIMBALAN KETUA HEWI (LAJNAH PENERANGAN DAN PENERBITAN),
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2011/2012

Rabu, 3 Oktober 2012

KUASAI '4K', ANDA EFEKTIF!


Sabda Rasulullah S.A.W: Barangsiapa yang mengucapkan لا اله الا الله   (tiada tuhan yang disembah selain Allah) maka dia adalah seorang daie (pendakwah).

 

Skop dakwah amat luas. Pelbagai medium boleh digunakan dalam menyampaikan dakwah. Ia tidak hanya dengan cara memberi ceramah di khalayak ramai melalui kaca-kaca televisyen atau corong-corong radio sahaja, bahkan ia juga dapat disampaikan melalui perilaku baik seseorang individu terhadap orang lain.

 

Kita lihat sahaja bagaimana akhlak mulia Baginda Nabi S.A.W dapat menarik jiwa seorang buta yang amat benci akan Islam untuk menganuti agama suci tersebut secara rela. Tanpa pernah jemu dan putus asa, setiap hari Rasulullah S.A.W menyuap makanan ke mulut si buta itu walaupun dia telah banyak mengutuk dan menghina nabi serta agama Islam itu sendiri.

 

Setelah Baginda wafat, barulah dia mengetahui bahawa orang yang memberinya makan setiap hari adalah insan yang dihina selama ini. Oleh sebab peribadi mulia yang dipamerkan oleh nabi kita Muhammad S.A.W, si buta itu akhirnya tertarik untuk memeluk Islam tanpa dipaksa.

 

Di sini timbul satu persoalan. Rasul itu bersifat maksum, bagaimana pula kita sebagai insan biasa dapat menjadi pendakwah yang efektif sepertimana Nabi S.A.W? Cuba kita perbaiki elemen 4K untuk merealisasikan impian ini. Apakah pula yang dimaksudkan dengan 4K ?

 

1. KETERAMPILAN

 

Keterampilan bermaksud gaya penampilan fizikal, pandangan kita terhadap diri sendiri dan pandangan orang lain terhadap diri kita serta keyakinan diri yang terdapat di dalam hati.

 

Keterampilan diri yang positif amat penting dalam berdakwah. Semasa orang mula-mula melihat kita, atau sewaktu kita mula diperkenalkan kepada orang itu, dia tidak tahu apa-apa berkenaan diri kita.

 

Bagaimana seseorang itu boleh mengetahui sama ada kita ini baik atau tidak? Pastinya dia akan melihat kepada penampilan luaran terlebih dahulu. Keterampilan yang baik dapat mempercepatkan terbinanya rasa rapat dan akrab dalam hati orang lain terhadap diri kita.

 

Dengan berpakaian kemas dan bersih contohnya boleh menyebabkan orang- orang lain di sekeliling kita berasa selesa dan seronok dengan kehadiran kita. Akibatnya, komunikasi dan hubungan dalam menyampaikan dakwah akan menjadi lebih mudah, lancar dan berkesan. Sebaliknya, keterampilan yang tidak baik, menimbulkan kesan negatif kepada komunikasi dan hubungan peribadi.

 

 

2. KREDIBILITI

 

Kredibiliti merupakan sifat boleh dipercayai atau diyakini. Kita perlu menentukan sejauh mana pentingnya kredibiliti kita kepada mad’u (sasaran dakwah).

 

Adakah mereka terpengaruh dengan kita disebabkan kedudukan, pangkat, kepakaran, pengalaman, tahap ilmu atau amalan baik kita?.

 

Sebagai contoh, seseorang yang memiliki tahap ilmu yang tinggi dan dia menyedari bahawa ilmu merupakan daya tarikan utama pada dirinya, maka akan lebih mudah baginya untuk menarik ramai mad’u jika dia berusaha untuk menambah lagi ilmu yang dimiliki.

 

Akan tetapi, jika kredibiliti seseorang merosot disebabkan perbuatan-perbuatan yang boleh mencalarkan maruahnya, maka sasaran dakwah akan melarikan diri darinya.

 

3. KEMAHIRAN

 

Setiap manusia dikurniakan kemahiran atau bakat yang berbeza-beza. Ada dalam kalangan kita yang memiliki kebolehan semulajadi dalam berbicara. Ada juga yang berbakat dalam bidang kepimpinan. Sebahagian yang lain pula pakar dalam bidang penulisan, muzik, teknologi maklumat, masakan dan sebagainya.

 

Apa pun kemahiran yang kita perolehi, kita seharusnya memanfaatkannya semaksimum mungkin supaya ianya dapat menyumbang kearah jalan dakwah yang sebenar. Islam itu mudah dan fleksibel, semuanya terserah kepada kita untuk mempelbagaikannya selagi mana tidak bertentangan dengan syara’.

 

4. KOMUNIKASI

 

Secara ringkas, komunikasi bermaksud pertukaran dan pemahaman maklumat antara pihak-pihak terlibat. Untuk mendapatkan komunikasi yang berkesan, seorang daie perlu bijak menyampaikan dakwah mengikut kesesuaian peringkat umur, tahap pemikiran, cara hidup serta kedudukan sasaran dakwah tersebut.

Situasi dan keadaan emosi mereka juga perlu dititikberatkan dalam berkomunikasi. Jika dia seorang yang sensitif misalnya, maka kita perlu menjaga setiap tutur kata agar tidak menyinggung perasaannya.

Daie yang paling agung, Nabi Muhammad S.A.W suatu ketika dahulu pernah ditanya soalan yang sama dari dua orang yang berbeza. Walaubagaimanapun, Baginda telah memberikan jawapan yang berbeza berdasarkan tahap penerimaan mereka yang berbeza.

KESIMPULAN

Bertepatan dengan subtopik pembawakan tema HEWI BKPJM 2011/2012 iaitu Melahirkan Syakhsiah Azhariah Yang Berkualiti, sebagai seorang azhariah dan mahasiswi, kita perlu koreksi kesemua elemen 4K ini di dalam diri kita untuk menjadi daie yang efektif, supaya segala ilmu yang kita peroleh dapat diterjemah secara praktikal dan memanipulasi ilmu tersebut secara bijaksana, agar kita mampu terus maju dan pantas kehadapan sebaris dengan para ilmuan tulen serta dapat meningkatkan kualiti azhariah itu sendiri.

Disamping itu, kita haruslah menjaga hubungan dengan Allah S.W.T kerana Dialah satu-satunya kuasa yang dapat mempermudahkan urusan kita dalam menempuhi medan dakwah yang berliku ini.

Sepertimana kata-kata Saidina Ali Karramallahu Wajhah: ‘‘Sesiapa yang memperbaiki dalamannya (hatinya), nescaya Allah akan memperbaiki luarannya (perbuatan zahirnya). Sesiapa yang bekerja untuk agamanya, nescaya Allah akan menyempurnakan urusan dunianya. Sesiapa yang memperelokkan hubungannya dengan Allah, nescaya Allah akan memperelokkan hubungannya dengan manusia yang lain.’’

“Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”
“Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah”

Sekian,Wassalam.

Amira Afina Binti Jamaludin
Unit Kebajikan&Tabung Derma
(Pemangku Unit Dakwah&Tarbiah)
Hal Ehwal Wanita Islam
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir
Sesi 2011/2012.

Sabtu, 8 September 2012

IMAN TEGUH IBADAH MANTAP


Iman  sebagai tunjang utama bagi insan yang bergelar Muslim. Tanpa iman manusia tiada hala tuju dalam kehidupan.

 Secara mafhumnya, semua tahu apa yang dimaksudkan dengan iman. Ia memiliki peranan penting dalam kehidupan manusia, kerana iman adalah kewajipan yang paling utama. Setiap kelakuan yang baik dan buruk dapat dinilai melalui tahap keimanan seseorang itu.

Oleh itu, selayaknya setiap yang beriman berusaha untuk memperteguh keimanannya terhadap penciptaNYA.

 Terdapat banyak ibadah yang dapat mempertingkat keimanan kita antaranya adalah dengan memperbanyak membaca dan mentadabur Al-quran, mempelajari ilmu-ilmu syariat Allah, melakukan amal soleh,dan bergaul dengan orang-orang soleh.

Sehubungan dengan itu, kita dapat lihat disini bahawa iman dan amal ibadah hendaklah seiring. Dengan adanya iman, amal ibadah sebagai cara untuk kita mendekatkan diri kepadaNYA.

Allah berfirman: ‘’Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu’’ [Adz-Dzaariyaat : 56].

Sudah terang lagi bersuluh, apakah tujuan kita diciptakan, tidak hanya untuk beribadah kepadaNya. Tiada apa yang kita miliki sebenarnya di dunia ini, melainkan harapan kita hanyalah padaNYA. Sedarlah! diri kita hanya hamba abdi yang dhaif  yang tidak berkuasa melainkanNYA.

Justeru itu, iman tanpa ibadah umpama mayat hidup yang hanya beriman tanpa berbuat amal. Ibadah yang seiring dengan iman adalah ibadah yang benar-benar sohih.

Keutamaan ibadah adalah dapat mengelakkan kemungkaran serta dapat meringankan beban penderitaan di saat kita susah dan mengalami sakit mahupun tidak tenang.

Imam Ibnu Qayyim berkata: "Tidak ada kebahagiaan, kelazatan, kenikmatan dan kebaikan hati melainkan bila ia meyakini Allah sebagai Rabb, Pencipta yang Maha Esa dan ia beribadah kepada Allah  sahaja, sebagai puncak tujuannya dan yang paling dicintainya daripada orang lain. Dengan itu, kita sebagai hambaNya hendaklah percaya, berharap dan takut hanya kepada-Nya,membebaskan diri dari dibelenggu perhambaan dan pergantungan kepada makhluk".

Bertepatan dengan misi HEWI BKPJM pada tahun ini, ‘Kemantapan Iman Tunjang Utama’ maka kita sebagai hamba kepada penciptaNYA, seharusnya memperbanyakkan amalan dan ibadah kerana kita hanyalah seorang hamba yang tiada memiliki kudrat dan kekuatan melainkan Allah s.w.t. Oleh itu, BKPJM menyeru kepada seluruh ahli agar bersama-sama saling ingat-mengingati serta mempertingkatkan iman dan ibadah agar kita   sentiasa diberi kefahaman terhadap Islam dan memperoleh kejayaan didunia dan di akhirat.

 “Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”
“Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah”


Haslinda Binti Ghazali
Bendahari(Lajnah Ekonomi)
Hal Ehwal Wanita Islam 2011/2012
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir.

Ahad, 26 Ogos 2012

PENGORBANAN MANIFESTASI KETAKWAAN


“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya,serta kamu berjuang dan membela menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu,yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya),”  (As-Saf:10-11)

Acap kali kita dipertontonkan dengan tragedi-tragedi perjuangan gigih pejuang agama Allah yang syahid dalam medan tempurnya.Umpama cendawan tumbuh selepas hujan, khabar gembira itu silih berganti tanpa ada noktah henti.

Begitu juga perjuangan bagi da’ie yang membawa risalah dakwah ini,tidak boleh tidak terlepas dari fenomena pengorbanan.

Pengorbanan bukanlah sekadar teori yang dibaca dalam risalah-risalah perjuangan tetapi hakikat yang medan tempurnya adalah jiwa insan.

Pengorbanan adalah mengorbankan harta,waktu,kehidupan dan segalanya untuk mencapai matlamat yang ingin dicapai.

Tidak ada jihad yang tidak memerlukan pengorbanan dan jangan sekali -kali konsep pengorbanan gugur dalam jalan insan mencapai keredhaan Allah.

Berkorban itu sendiri mengandungi intipati mencintai,mentaati,mengabdi,menyerahkan dan reda.Hanya mereka yang benar-benar ikhlas mampu menyelami hikmah di sebalik pengorbanan yang meratah satu persatu kudrat seorang hamba.

Hamba yang ikhlas menerima segala ketentuan Allah adalah hamba yang sentiasa bersyukur dalam segala hal.

Dalam menyelami sirah kehidupan rasul junjungan kita,Nabi Muhammad S.A.W pelbagai corak dan pola kehidupan yang digambarkan oleh baginda menjelaskan secara terperinci pengorbanan baginda yang sungguh
agung.

Pertama,baginda melaksanakan tuntutan Allah dari segala tuntutan kehidupan.Ia menggambarkan keutamaan dalam amal yang diyakini oleh seluruh umat, Allah jua sebaik-baik pengatur yang memegang kunci rahsia kehidupan hamba.

Pengorbanan memerlukan ketinggian iman yang tidak berbelah bagi terhadap seruan Allah.Justeru, ia dilaksanakan dengan penuh perhambaan dan kerelaan tanpa meletakkan syarat dan alasan bahkan
dilaksanakan dengan proaktif.

Wahai orang-orang yang beriman!Sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka;dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni mereka,maka sungguh,Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang,”  (At Taghaabun:14)

Setiap pejuang harus sedar dalam melaksanakan tanggungjawab kita berhadapan dengan musuh.Musuh ini sendiri adalah hawa nafsu,syaitan,iblis,anak-anak dan isteri.

Seorang da’ie perlu mengorbankan sesuatu yang dicintai dan disayangi di dunia ini bagi meraih cinta dan redha Allah serta ganjaran syurga.

Apa yang dimiliki oleh hamba itu sendiri adalah ujian untuk mencapai darjat ketakwaan.Islam tidak akan mampu dijulang dan diperkasa melainkan kepada sifat tadhiyyah (pengorbanan).

Hakikatnya, pengorbanan mengajar hamba itu memperbaharui cintanya kepada Allah,Rasul-Nya,diri sendiri,ibu bapa,isteri,suami,anak-anak dan yang terakhir umat manusia seluruhnya.

Bukankah telah digambarkan dalam Al-Quran bahawa penyeruan dakwah itu sangat sukar dan menuntut pengorbanan?

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. " (At-Taubah : 111)

Berjuanglah para da’ie yang mulia.Bangkitlah tanpa rasa sedih dan dukacita.

Teruskan melangkah dengan memegang dasar Al-Quran dan Sunnah.

Ketahuilah bahawa perjalanan ini tidak kosong, bahkan perlu dibawa bersama pengorbanan dan pengorbanan inilah manifestasi ketakwaan.

Apa yang membezakan seorang hamba dengan hambaNya yang lain adalah darjat ketakwaan kerana takwa adalah layar dalam mengemudi samudera kehidupan.


"Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan"
"Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah"


FARAH HAZIQAH BINTI MOHD HARUN,
SETIAUSAHA HEWI,
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 11/12.

Rabu, 8 Ogos 2012

TARBIYAH RAMADHAN MEMBINA KESATUAN




Ramadhan bulan silaturrahim,bulan yang menguatkan ukhuwah Islamiah. Ramadhan juga bulan yang penyatuan, kerana seluruh umat Islam bersatupadu memenuhi hak Allah SWT. 

Saban tahun Ramadhan sentiasa menjadi bulan yang dinantikan oleh seluruh umat Islam yang beriman, kerana didalamnya terkandung seribu satu keindahan. Lebih-lebih lagi,keutuhan ukhuwah yang pasti terpatri dikala Ramadhan tiba, kerana didalamnya penuh dengan keberkatan, sebagaimana firman Allah, maksudnya :


إنا أنزلناه في ليلة مباركة إنامنذرين (3) فيها يفرق كل أمر حكيم (4)

“Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Qur’an) pada suatu malam (Lailatul Qadr) yang diberkati. Dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam yang berkat  itu, dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah” [Ad-Dukhan : 3-4]

Kesatuan dan keutuhan sesebuah organisasi sangat bersangkutan dengan sikap saling memahami. Justeru, tarbiah Ramadhan sangat berkaitan dalam membentuk kesatuan sejak difardhukan lagi. Hal ini yang demikian adalah kerana, hikmah pelaksanaan ibadah puasa itu mendidik orang yang berkemampuan untuk memahami dan merasai penderitaan fakir miskin. Sehinggakan kehidupan mereka ini diibaratkan “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.

 Kehidupan yang sentiasa dililiti rasa kelaparan, setiap hari dan waktu. Perasaan lapar inilah yang harus dirasai oleh setiap orang yang berpuasa, dengan yang demikian diharapkan mereka yang berkemampuan akan memberikaan perhatian ,belas kasihan, tolong-menolong, infaq dan sedekah kepada orang-orang miskin. Maka akan terjalinlah hubungan yang harmoni ,dan saling menguntungkan antara satu sama lain. Oleh sebab yang demikian maka, terjalinlah kesatuan umat.

Selain daripada itu, pembayaran zakat, infaq dan sedekah kepada fakir miskin ketika Ramadhan  juga memupuk sikap ambil peduli dan prihatin terhadap nasib insan yang malang. Disebabkan itulah maka akan lahirlah persaudaraan tidak mengira pangkat ataupun darjat.

Malah, kesemua ibadah ,secara  umumnya menyasarkan kepada kesatuan umat. Solat umpamanya, perintah Allah yang dilakukan secara berjemaah, bahkan terdapat ulama’ yang mensyaratkan pelaksanaan secara berjemaah adalah harus. Tambahan pula, solat sunat terawih disunatkan pada bulan Ramadhan dan juga secara bejemaah. Ini menunjukkan supaya umat Islam, dapat meluangkan masa untuk lebih saling mengenali, sehingga terjalin ukhuwah Islamiah, seterusnya terbentuklah umat yang bersatu.

Dalam erti kata lain, kesatuan umat adalah tujuan utama dalam setiap ibadah dan amalan dalam Islam, kerana ia merupakan tunggak yang mengukuhkan sesebuah negara. Persatuan dan kesatuan umat adalah penentu keteguhan dan luasnya penyebaran hukum Islam dalam sesebuah masyarakat. Oleh yang demikian, jadilah tarbiah Ramadhan sebagai momentum kesatuan umat, kerana perpecahan adalah kelemahan, bahkan penyebab kehancuran.

Akhirnya,marilah kita bersama-sama menyatupadukan hati kita dalam meraih redha Allah di malam-malam terakhir Ramadhan ini,seperti mana yang kita ketahui,malam-malam terakhir ini adalah fasa pembebasan diri dari api neraka, dan rebutlah ganjaran yang berlipat kali ganda di bulan yang penuh dengan keberkatan ini yang terkandung di dalamnya malam yang terbaik dari seribu malam(Lailatul Qadar).Semoga Allah sentiasa permudahkan segala urusan dan menerima segala amalan kita dengan berkat kesungguhan yang kita laksanakan.InsyaAllah.

Wassalam.

“Kesatuan Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”
“Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah”

Hanisah  Abd Rani
Unit Sambutan & Rehlah,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 11/12.    

Rabu, 2 Mei 2012

Makluman Nombor Rasmi Ketua Hewi BKPJM 2011/2012


Adalah di maklumkan bahawa
Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir
sesi 2011/2012 telah menggunakan nombor telefon 

+20112 6320224

 sebagai nombor rasmi Ketua Hewi.
Sebarang urusan yang berkaitan
boleh hubungi nombor tersebut.

Harap maklum.