Selasa, 2 Disember 2014

UCAPTAMA TEMA PEMBAWAAN KETUA HEWI BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2014/2015


 بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته..

ان الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلن تجد له وليا مرشدا اشهد ان لا اله الا الله و اشهد ان محمد رسول الله..أما بعد

Yang dimuliakan saudari pengerusi majlis, yang berbahagia Timbalan Pengerusi Hewi  Persekutuan Melayu Repulik Arab Mesir (PMRAM) 2014 Ustazah Nurul Izati Binti Rohani. Yang dikasihi sahabat pimpinan Hal Ehwal Wanita Islam HEWI BKPJM 2014/2015 serta hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Selaut kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT diatas segala nikmat yang dikurniakan. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad SAW ,ahli keluarga baginda serta para sahabat RA yang setia berkorban dalam menyokong risalah perjuangan islam.

Alhamdulillah HEWI BKPJM pada sesi ini meneruskan lagi pentadbiran dengan membawa tema baru iaitu “Mahasiswi Rabbani Dan Berketrampilan” bagi mempertingkatkan pencapaian demi pencapaian kearah yang lebih cemerlang.

Sidang hadirat sekalian,

         Keberadaan kita dibumi anbia’ adalah terdorong dari suatu kesedaran bahawa di bumi ini terdapat lubuk ilmu yang begitu tinggi nilainya yang harus digali bersama.Bertitik tolak dari kesedaran tersebutlah mengheret kita menimba ilmu di bumi al-azhar secara khususnya dan dari dada tokoh-tokoh ilmuan serta professional yang berkilau bak mutiara dan tak pernah jemu menyebarkan cahaya.

         Bertemakan “Mahasiswi Rabbani Dan Berketrampilan” besarlah harapan diperingkat hewi  menginginkan agar satu gelombang transformasi yang menitik beratkan tarbiah dari sudut syakhsiah seterusnya melahirkan mahasiswi yang berketrampilan dari pelbagai aspek dan kemahiran. 

Di bawah tema HEWI BKPJM terdapat 4 subtopik :
1) Memupuk kefahaman islam yang sebenar
2) Meningkatkan thaqafah dan kemahiran mahasiswi
3) Melahirkan syakhsiah islamiah yang berkualiti
4) Mengukuhkan kesatuan mahasiswi bersama bkpjm

1) MEMUPUK KEFAHAMAN ISLAM YANG SEBENAR

Dr.yusof Qardhawi didalam kitabnya واجب الشباب المسلم اليوم  telah mengariskan kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap induvidu muslim ialah memahami islam فهم الإسلام dengan pemahaman yang sebenar. Sabda Rasulullah S.A.W  :
"طلب العلم فريضة على كل مسلم و مسلمة "
“Menuntut ilmu adalah diwajibkan ke atas individu muslim dan muslimah”

Antaranya ialah memahami islam dengan kefahaman yang sebenar, mengamalkannya, menyeru kearahnya serta mengabungkan diri dalam gerakan islam. Seharusnya mahasiswi islam juga perlu berusaha untuk menghayati ilmu yang dipelajari supaya dapat menyampaikan islam sebenar berpandukan ثقافة الإسلامية  yang dimiliki. Penghayatan ilmu yang sebenar haruslah disemai dalam diri mahasiswi islam bagi mencerna minda supaya benar-benar memahami konteks islam serta kewajipan sebagai seorang muslim.

Dewasa kini, dunia melihat umat islam dipengaruhi oleh pelbagai bentuk serangan pemikiran dari segenap sudut kehidupan mereka. Maka dalam menongkah arus serangan pemikiran yang mengalir deras ini, usaha ke arah memupuk kefahaman islam yang sebenar dikalangan mahasiswi terutamanya adalah sangat wajar digiatkan.
  
Pendokong-pendokong fahaman ideologi songsang seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, kapitalisme, nasionalisme,  dan sebagainya yang terus menyusur laju dalam menyampai dakyah mereka melalui entiti yang pelbagai. Hal ini sangat penting demi menjaga keaslian manhaj dakwah dan perjuangan islam yang diasaskan dari zaman rasulullah S.A.W, para salafussoleh sehinggalah hari ini

Tanggungjawab didalam memahami islam itu tidaklah hanya terpundak  pada golongan pemuda sahaja. Bahkan, wanita juga turut mempunyai tangungjawab yang sama. Malahan wanita merupakan agen yang paling penting dalam mendidik masyarakat. Islam sangat menghormati dan menjulang tinggi martabat seorang wanita sehinggalah Allah S.W.T menamakan salah satu surah didalam al-quran dengan nama surah An-Nisa’ yang bermaksud wanita.

Justeru HEWI BKPJM memandang serius terhadap perkara ini kerana kefahaman islam yang sebenar merupakan perkara tuntutan dalam sesebuah gerakan atau kesatuan dengan kefahaman maka terlahirlah kesatuan. Antaranya dengan memurnikan pemikiran mahasiswi  dan menjana kelangsungan generasi pelapis dalam setiap lapangan bagi membuahkan kefahaman.
Bagi merealisasikan subtopik tersebut hewi BKPJM progresif dalam menyusun beberapa medan antaranya dengan memperanankan muzakarah berkelompok dan diskusi kitab-kitab yang terpilih.

2) MENINGKATKAN THAQAFAH DAN KEMAHIRAN MAHASISWI

Sidang hadhirat yang dirahmati,

Firman Allah SWT :
يرفع الله الذين آمنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت والله بما تعملون خبير (11)
“Allah SWT akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman diantaramu, dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat, dan Allah maha teliti apa yang kamu kerjakan.” (Surah Mujadillah : 11)

Pembangunan akademik perlu dititikberatkan dalam dunia mahasiswa islam kearah melahirkan golongan intelektual yang mampu menguasai setiap lapangan ilmu. Keperluan dan tuntutan ini perlu diberi tumpuan agar konsep pembelajaran mahasiswi dirancang serta disusun dengan baik. Menuntut ilmu merupakan kefardhuan umat islam. Tanggungjawab ini tidaklah hanya digalas oleh sebahagian individu mahupun sekelompok semata-mata malah ianya turut menjadi amanah oleh semua manusia. Konsep pembelajaran yang teratur merupakan salah satu faktor utama penyumbang kejayaan mahasiswi selain mengamalkan system PCR, iaitu teknik :
i- preview
ii-concentrate
iii-review
HEWI BKPJM sangat optimis dalam memastikan kecemerlangan akademik seluruh mahasiswi johor. Justeru itu pelbagai inisiatif telah direncanakan dengan menyusun study group mengikut tahun, menyediakan kelas-kelas tutorial peringkat cawangan selain mengalakkan mahasiswi agar mengikuti kelas-kelas tutorial di peringkat PMRAM serta mengadakan program motivasi ke arah kecemerlangan akademik.

Sidang hadhirat yang dirahmati,
          
          Keunggulan mahasiswi islam bukan hanya dinilai dari perspektif kecemerlangan akademik semata-mata malah penekanan kepada thaqafah dan kemahiran perlu di ambil perhatian. Era globalisasi kini menuntut mahasiswi islam untuk mempertingkatkan tahqafah dan kemahiran agar kredebiliti ini tidak dipandang sepi dan enteng oleh sesetengah golongan. Justeru itu HEWI BKPJM telah mengambil inisiatif bagi memanfaatkan kedua-dua elemen penting ini ke dalam gelanggang mahasiswi untuk bergerak aktif.

Sabda nabi muhammad SAW :

من اراد الدنيا فعليه بالعلم ومن اراد الأخرة فعليه بالعلم و من ارادهما فهليه بالعلم

“Barang siapa yang mengkehendaki dunia maka keatasnya dengan ilmu dan siapa yang mengkehendaki akhirat keatasnya juga dengan ilmu dan sesiapa yang mengkehendaki kedua-duanya maka keatasnya dengan ilmu”.

Ilmu teknologi maklumat, merupakan nilai tambah kepada mahasiswi islam sebagai bekalan sebelum terjun ke medan masyarakat. Sejajar dengan itu seni dakwah perlu diolah dalam pelbagai bentuk dan pembawakan memandangkan masyarakat kini sudah celik dengan dunia globalisasi.

Selain dari itu fiqh wanita dan ilmu dalam kemahiran vokasional seperti menjahit, memasak,dekorasi  dan sebagainya  merupakan perkara yang perlu ada pada setiap mahasiswi yang bakal melangkah ke peringkat seterusnya.

Justeru peringkat HEWI BKPJM telah merancang beberapa aktiviti yang berbentuk kemahiran seperti kelas-kelas vokasional,penjanaan thaqafah melalui raudah ilmu dan pembentangan kertas kerja.

Sidang hadhirat yang dihormati, subtopik yang seterusnya adalah,

3) MELAHIRKAN SYAKHSIAH ISLAMIAH YANG BERKUALITI

   Hakikat keimanan bukanlah hanya diucap denga lidah semata-mata. Tetapi ianya merupakan suatu hakikat yang meresap ke dalam akal, mempengaruhi perasaan dan mengerakkan kemahuan, bahkan ianya merupakan keyakinan hati  yang dibuktikan kebenarannya dengan amal perbuatan. Firman Allah maksudnya : “ sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul kemudian mereka tidak ragu-ragu serta mereka berjuang dengan harta benda mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang yang benar .”
            
            BKPJM sentiasa menitik beratkan syakhsiah islamiah dengan meperanankan tarbiah mahasiswi khususnya melalui medium yang disediakan. Setiap medium akan diterapkan dengan nilai-nilai tarbiah melalui program-program ataupun aktiviti  yang dilaksanakan.

         Syakhsiah islamiah yang juga merangkumi Akhlak islamiah mempunyai pertautan yang erat dengan akhlak al-insaniah al-asasiah  malah akhlak inilah yang merupakan pelengkap bagi akhlak al-asasiah dan juga penyempurna. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
انما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
Keistimewaaan  yang ada pada akhlak islamiah :
Akhlak islamiah meletakkan akhlak asasi manusia pada paksi dan fungsinya yang sebenar. Akhlah asasi manusia boleh diarahkan kepada mana-mana arah sama ada yang baik atau sebaliknya secara serentak. Akhlak islamiah merupakan pemandu bagi akhlak asasiah kepada kedudukan yang benar dan lurus.
  
 Ianya boleh diumpamakan sebagai pedang yang tajam yang dijadikan alat oleh perompak untuk melakukan kezaliman tanpa belas kasihan apabila berada ditangannya akan tetapi ianya merupakan alatan yang baik bahkan menjadikan suatu yang hak sekiranya pedang itu berada ditangan seorang mujahid yang brjuang dijalan Allah.
            
           Oleh yang demikian akhlak tidak boleh dihukum baik dan bagusnya berdasarkan wujudnya akhlak tersebut disisi seseorang ataupun kumpulan tertentu, tetapi baik dan bagusnya adalah berdasarkan ke arah mana akhlak tersebut digunakan.

Justeru apabila semua ajaran di dalam islam dilaksanakan dengan sebaiknya, maka akan lahirlah syakhsiah dan masyarakat  yang menjayakan islam dalam kehidupannya .

Sehubungan dengan itu, HEWI BKPJM sangat optimis dalam usaha melahirkan syakhsiah islamiah yang berkualiti dengan menyusun beberapa program dan tindakan  yang berpandukan wasilah tarbiah antaranya mukhayyam,katibah,nadwah dan mengadakan kempen gempur syakhsiah.

Sidang hadhirat untuk subtopik yang terakhir,

4) MENGUKUHKAN KESATUAN MAHASISWI BERSAMA BKPJM

Kesatuan adalah tonggak kekuatan sesebuah organisasi dan ia dapat direalisasi melalui senergi ukhuwah yang padu dan utuh. Firman Allah SWT ada menyebut didalam ayatnya yang bermaksud :
“ Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah SWT dan janganlah kamu berpecah-belah. Dan ingatlah nikmat yang Allah kurniakan kepada kamu ketika kamu bermusuhan, maka Allah menyatukan hati-hati kamu dan jadilah kamu dengan nikmatnya bersaudara.”

           Definisi kesatuan melalui ukhuwah yang dikarang didalam risalah ta’alim ialah merupakan satu ikatan hati dan jiwa yang ditautkan dengan akidah islamiah.
Sahabat seakidah sekalian,
BKPJM telah bertapak hampir empat dekad, ini bermakna keberadaaan BKPJM ini adalah hasil dari keutuhan ukhuwah sahabat seakidah dari dahulu hingga kini. Bahkan BKPJM masih lagi terus utuh dengan adanya sokongan daripada ahli.

Pengukuhan dalam kesatuan amat dititik beratkan malahan  Syed Mustafa Masyhur juga berkata didalam kitab karangannya (qaiedul qudwah a’la thoriq dakwah) “ kekuatan yang utama adalah kekuatan dalam kesatuan”

Justeru pelbagai langkah perlu diambil bagi mengukuhkan ukhuwah dikalangan ahli. Selain itu juga semua pihak perlu memainkan peranan penting dan bertindak dengan kreatif dalam mempelbagaikan,memperkasakan dan memberi sokongan kepada aktiviti-aktiviti berkonsepkan ukhuwah seperti PERMATA , Muslimah Ghathering dan riadah fatayat bagi memantapkan interaksi dan komunikasi sesama kita.

Hati yang diikat dengan ukhuwah mampu melahirkan rasa kasih dan sayang sesama kita seterusnya melahirkan gagasan generasi yang memberi pengorbanan yang lebih tinggi dan akan membuahkan kesatuan hati, fikrah dan amal sesama kita.

“ukhuwah merupakan saudara bagi iman dan perpecahan adalah saudara bagi kekufuran ”

Akhir kata “Mahasiswi Rabbani Dan Berketrampilan”.

“BKPJM Keluarga Kita”

Sekian terima kasih.
أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته...


Ahad, 12 Oktober 2014

AKU BUKAN SUPERHERO


وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على اللاثم والعدون
Dan tolong-menolonglah dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa dan jangan tolong –menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.
(Surah Al-Maidah:2)
Wahyu cintaNYA di atas membuktikan bahawa Islam ialah satu agama yang sempurna, tinggi lagi unggul. Anjuran ALLAH ‘Tolong-menolonglah’  di dalam ayatNYA menunjukkan betapa pentingnya sikap kebersamaan dalam melakukan sesuatu perkara. Ia tidak mengajar umatnya hidup bersendiri-sendiri sebagaimana umat barat, malah dia telah mengajar kita mempersaudarakan antara individu-individu umatnya menjadi hidup bersaudara yang menghendaki mereka untuk turut serta bergaul bersama insan yang lain.
Seorang insan itu seharusnyanya tidak bersikap individualistik ketika melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan seharian.Sepertimana yang kita ketahui,Kita bukanlah seperti watak kartunis superhero di televisyen yang bisa melakukan segala kerja dalam sekelip mata tetapi kita hanyalah hambaNYA yang lemah dan sentiasa memerlukan bantuan daripada insan lain.Tanpa bantuan makhluk lain maka kita umpama satu ranting yang mudah patah berbanding seikat ranting yang sesekali tidak akan patah.
         
         Sekali sekala cuba kita timbulkan persoalan dalam benak fikiran mengapa Rasulullah mengatakan solat berjemaah itu lebih afdhal daripada solat secara bersendirian?Cuba kita fikir pula mengapa pahala bagi yang berjemaah itu 27 tetapi pahala bagi yang solat bersendirian itu hanya satu?Nah!Tidak lain tidak bukan adalah untuk mengajar kita betapa pentingnya  hidup bermasyarakat serta  menerangkan kepada kita bahawa adanya keberkatan di dalamnya.Dengan berjemaah kehidupan seseorang itu akan lebih tersusun dan teratur lebih-lebih lagi ketika melakukan sesuatu perkerjaan.

          Di samping itu,seseorang juga akan lebih mendapat kekuatan  dan lebih bersemangat dalam melakukan perkerjaan apabila ada insan-insan lain yang sentiasa menjadi pendokung setia mereka dalam menguatkan antara satu sama lain sepertimana yang disebutkan dalam hadis baginda s.a.w:
عن أبي موسى اللأشعري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:ان المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعض
Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a,Nabi s.a.w bersabda:”Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan,sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.

         Selain itu,jika kita soroti kembali sirah perjuangan para Anbiyaa,kebanyakan kemenangan Islam itu bukan hanya atas dasar keimanan yang teguh kepada ALLAH Taala bahkan atas dasar kerjasama yang baik antara saudara semukmin yang lain baik pertolongan dari aspek kewangan,persiapan,jasmani serta rohani.Di dalam surah Nabi Musa a.s juga memohon kepada ALLAH supaya diberikan teman iaitu Nabi Khidir a.s ketika diperintahkan berdakwah kepada firaun serta rakyatnya.

        
            Tuntasnya,dapatlah kita simpulkan bahawasanya setiap daripada kita bukanlah SUPERHERO tetapi adalah SUPERHAMBA Allah yang  tidak lari daripada memerlukan pertolongan insan lain serta tetap memerlukan nusroh daripada Allah Taala.Hanya dengan berkumpulan maka kita dapat kembali bersatu.Hanya dengan berjemaah jua kita dapat bersama menegakkan kembali
daulah Islamiyyah yang telah  jatuh selama 90 tahun.

         Oleh itu,mari kita bersama membudayakan sifat sukakan berjemaah bak kata pepatah ‘Yang Berat Sama Dipikul,Yang Ringan Sama Dijinjing’ di dalam kehidupan.
WaAllahua’lam.

"Thaqafah Cemerlang Kesatuan Gemilang"
"Memposisi Mahasiswi Berintegriti, Membentuk Generasi Bersinergi"

Nur Hazirah Husna Binti Md Rafpidin
Unit Kebajikan Dan Tabung Derma HEWI
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir 13/14

Jumaat, 3 Oktober 2014

Bumi Musa ~ Firaun ; Ladang Tarbiah

Bumi Musa-Firaun ; Ladang Tarbiah


   Firman Allah SWT : “Masuklah kamu ke dalam Mesir, InsyaAllah aman”
( Surah Yunus :Ayat 87)  

Mesir , Kota tamadun islam yang bukan sahaja kaya dengan sirah Anbiya’ serta khazanah bahkan tersangat kaya dengan gedung ILMUNYA. Kedudukannya yang strategik yang terletak di bahagian Timur Laut Afrika,  menjadi tumpuan pendatang asing untuk menziarahi negara ini. Di sini juga wujudnya Universiti Al Azhar, universiti tertua di dunia yang dibina pada abad ke sepuluh. Kehebatannya  di dalam bidang ilmu sangat meluas, meliputi seluruh aspek duniawi dan ukhrawi seperti ilmu fiqh, tauhid, tasauf, ilmu perubatan, kejuruteraan, dan sebagainya.
            
            Langkah pertama untuk seseorang yang menuntut ilmu adalah membebaskan diri dari niat yang keji, dan bermotifkan keduniaan. Sebagaimana hadith nabi yang masyhur riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim : “Sesungguhnya setiap sesuatu itu dimulai dengan niat, dan setiap seseorang itu adalah mengikut apa yang diniatkannya”. Sesuatu perkara itu perlulah didasari dengan niat kerana ALLAH.Tanpa niat keranaNYA  maka sesuatu perkara yang ingin dilakukan mudah terjerumus kearah kemaksiatan. Tuntasnya, tuntutlah ilmu ikhlas kerana Allah, bukan untuk mendapatkan sanjungan dan kemuliaan.
            
            Tidak dapat disangkal lagi limpahan ilmu yang berada di bumi sahara bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Pelapis ulama lahir saban tahun dari pelbagai negara hasil daripada tarbiyah bumi Mesir. Ibn Abdil Bar meriwayatkan dari Imam al Auzaie ia berkata : “Tidaklah hilang ilmu (agama) melainkan dengan hilangnya sanad-sanad (ilmu agama tersebut). Dalam masa yang sama, seseorang perlu bijak memilih masyaikh agar tidak terpesong daripada landasan yang benar kerana akan muncul golongan yang tidak mempunyai latar belakang keilmuan dalam bidang agama yang memadai berdiri di hadapan khalayak lalu berbicara dalam urusan agama tanpa kelayakan.

Mesir ini bukan sahaja kaya dengan ilmu, malahan cabaran melalui liku kehidupan juga tidak kurang hebatnya. Jalan seorang pejuang itu pastinya berbalut ranjau dan duri. Kadangkala apa yang diimpikan tidak selalunya  menjadi kenyataan.Di sinilah peri pentingnya Redha terhadap segala ketentuan Allah sebagai landasan orang beriman. Sepertimana yang dapat kita telusuri melalui kisah Nabi Yusuf semasa beliau dipenjarakan kerana difitnah- di dalam Surah Yusuf ayat 33, “Wahai tuhanku penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka”.

Malahan ta’rifan ilmu itu mencakupi seluruh aspek bahkan ilmu itu bukanlah hanya terdapat dikuliah-kuliah dan didalam kitab-kitab atau dengan berguru sahaja. Selain daripada itu, pengalaman juga merupakan ilmu atau guru yang terbaik,akan tetapi guru yang berpengalaman belum tentu dia merupakan guru yang terbaik. Pengalamanlah mengajar erti kehidupan.

Akhirnya, Firman Allah SWT di dalam Surah Al Mujadalah :
“Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan”.

Sesungguhnya ilmu apabila didapati dengan kesucian tanpa kepentingan hati, dan niat yang ikhlas kerana Allah, akan mengubah personaliti seseorang menjadi lebih baik. Semoga dengan kedatangan para penuntut ilmu  di bumi anbiya’ bakal menjadi pelapis ulamak, pembimbing ummah pada masa akan datang.


"THAQAFAH CEMERLANG KESATUAN GEMILANG"
"MEMPOSISI MAHASISWI BERINTEGRITI, MEMBENTUK GENERASI BERSINERGI"

Shahidah Binti Abdul Hadi
Unit Perumahan HEWI (Lajnah Kesenian, Kebudayaan & Sukan HEWI)
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir 13/14       

Rabu, 17 September 2014

JIHAD EKONOMI PERLU DIPERJUANG

                        JIHAD EKONOMI PERLU DIPERJUANG

Firman Allah swt yang bermaksud : Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah swt dengan jihad yang sebenar- benarnya  (Al-Hajj : 78)
Mafhum daripada ayat ini adalah Allah memerintahkan bagi setiap hambaNya untuk berjihad di jalanNya untuk menentang musuh yang nyata atau tidak seperti kaum musyrikin, syaitan atau memerangi hawa nafsu  dan dengan jihad yang sesungguhnya melalui pelbagai cara dan kemampuan seseorang.

 Pengertian jihad ialah memerangi golongan kufar yang tidak mempunyai perjanjian damai dengan orang muslimin ( harbi : yang memerangi muslim) untuk meninggikan kalimah Allah swt.
Jihad dapat diklasifikasikan kepada tiga bahagian iaitu berjihad memerangi musuh yang nyata iaitu kaum musyrikin, syaitan dan hawa nafsu. Ketiga – tiga bahagian ini termasuk di dalam maksud firman Allah swt di dalam surah Al-Hajj ayat ke 78.

Imam ibnu Taimiyyah berpendapat bahawa jihad mempunyai  skop yang luas antaranya jihad dengan hati iaitu berazam untuk melaksanakan atau berdakwah kepada islam, atau menegakkan hujjah dan kebenaran atas kebatilan, atau menyatakan hak dan menghilangkan keraguan, atau dengan cara memerangi kaum kuffar di medan jihad yang sebenar. Maka wajib berjihad dengan pelbagai cara mengikut kemampuan seseorang.

Jika kita melihat dari skop pandang zaman Rasulullah lebih menekankan jihad zahiriah dengan memerangi kaum musyrikin yang di medan perang  manakala bagi zaman sekarang kita lebih cenderung untuk menggunakan jihad  yang bersifat  maknawi  melalui perang saraf. Melihat kepada waqie ummat islam yang berada di seluruh dunia yang ditindas lebih- lebih lagi yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Palestin oleh Israel, maka sedikit sebanyak kita dapat menyumbang melalui jihad ekonomi yang dikenali sebagai boikot dan pemulauan barang dari Israel dan syarikat- syarikat yang menyumbang terhadap ekonomi Israel.

Malah jika kita soroti sirah Nabi saw kita akan mendapati Nabi saw mengarahkan umat Islam membina pasar raya sendiri bagi meninggalkan pasar raya Qainuqa' yang dimonopoli oleh yahudi ketika itu.
Hukum asal harus,bagi urusan jual beli, guna khidmat dan makan di McDonald, KFC, TESCO, JUSCO, MAXIS, INTEL, NOKIA dan lain-lain produk walaupun berasal dari Yahudi atau non-muslim selagi mana :-
       a)      Produk mereka disahkan bersih dan halal oleh JAKIM ( di Malaysia) serta tempoh lessen masih hidup
       b)      Cara transaksi dan urusniaga yang dilakukan bertepatan dengan syariat Islam
       c)       Tiada sebarang perintah oleh kerajaan berwajib untuk memboikot mereka bagi mencapai sesuatu maslahah untuk kebaikan umat Islam
       d)      Tiada sebarang bukti jelas dan bertulis dan penghebahan rasmi syarikat bahawa mereka membantu dan menyumbang khas kepda serangan ke atas Islam yang mana ia dibuat atas nama syarikat dan bukan salah seorang individu dalam syarikat sahaja

Namun fatwa terbaru yang telah dikeluarkan oleh Dr. Yusuf Qardhawi telah menyatakan bahawa haram membeli barangan yang menyumbang kepada ekonomi Israel samada barangan Israel atau syarikat- syarikat yang menyumbang kepada ekonomi Israel seperti Starbuck, McDonald, Intel dan sebagainya.

Oleh yang demikian mendapat pahala bagi sesiapa yang melakukan boikot terhadap mana- mana barangan atau syarikat didasari keyakinannya terhadap hasil kajiannya sendiri yang mendapati penglibatan yang tidak sihat itu ada pada syarikat atau mana- mana pengeluar barangan. Tatkala itu, boikot adalah wajib keatas dirinya sahaja dan digalakkan bagi sesiapa yang yakin dengan info yang dikeluarkannya.

Malah digalakkan juga umat Islam mengutamakan syarikat Islam dan barangan keluaran Islam dalam menggantikan produk – produk boikot bagi membantu peningkatan ekonomi umat Islam.
Justeru tepuk dada tanya iman samada kita ingin mengutamakan kehendak sendiri dengan memilih barangan boikot yang terlihat keunggulan dan kejenamaannya atau mengaulakan kepentinggan ummah dan saudara- saudara kita di Palestin khususnya. Pilihlah samada ingin membeli sambil membunuh atau mencari alternatif lain dan melaksanakan jihad muasarah ini. 

Namun di satu sudut yang lain sekiranya barangan- barangan tersebut merupakan keperluan seharian yang tidak dapat dielakkan penggunaanya, maka terdapat keringanan di situ. Semoga dengan sedikit usaha ini akan menjadi hujah kita di hadapan Allah kelak. saya menyeru kepada diri saya dan semua saudara- saudara seakidah untuk bersatu dan mengembleng tenaga untuk melaksanakan jihad ekonomi ini.   

sumber rujukan :
-al quran
-kitab iqnaa
-darul ifta'
-zaharuddin.net

"Thaqafah Cemerlang Kesatuan Gemilang"
"Memposisi Mahasiswi Berintergriti Membentuk Generasi Bersinergi"
 


Aisyah Binti Sakiron
Unit Pengetahuan Dan Bimbingan Hewi
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir 13/14