Dakwah fardiah merupakan salah satu cabang dari
cabang-cabang dakwah Islamiah,bahkan ia mempunyai pelbagai kaedah bagi mencapai
keberkesanannya. Antaranya dengan
katibah ( menghidupakan malam dengan
amal soleh secara berjemaah), khutbah, kuliah-kuliah agama, dan dengan gerak
kerja kemasyarakatan.
Bahkan bagi seorang pendakwah yang menjadi tulang belakang
kepada dakwah Nabi S.A.W hendaklah bermujahadah bersungguh-sungguh dan
bermuhasabah serta sentiasa bersifat raja’ (kembali kepada Allah S.W.T)
dan sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada
orang yang menyeru kepada mengesakan Allah serta ia sendiri mengerjakan amal
soleh sambil berkata : sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam” (Fussilat
: 33)
Para Ulama’ Gerakan telah menggariskan beberapa tingkatan dakwah
kepada para pendakwah agar mad’u (orang yang didakwah) dapat menerima dakwah
yang diseru berlandaskan aqidah, kefahaman dan semangat yang sebenar dan bukan
semata-mata menggabungkan diri dalam Jemaah dek kerana tertawan dengan pangkat
atau kepentingan diri semata-mata.
TINGKATAN PERTAMA : Mewujudkan hubungan dua pihak dan
berkenal-kenalan dengan mad’u.
Pada tahapan permulaan ini, seorang pendakwah hendaklah mempamerkan
gerak kerja amali dengan menunjukkan keprihatinan daie itu kepada mad’u dan
bertanyakan tentangnya sekiranya ia tidak berjumpa. Daie itu hendaklah
benar-benar mengenali setiap sudut tentang diri mad’unya sehingga sekecil-kecil
perkara seperti hobi dan kecenderungannya atau peristiwa-peristiwa penting
tentangnya. Kemungkinan masa yang diambil untuk tahapan ini selama beberapa
minggu atau bulan.
TINGKATAN KEDUA : Meningkatkan kesedaran iman dalam
diri mad’u.
Seorang dai’e perlu bijak untuk mengendalikan perbicaraan
tentang keimanan secara semula jadi seperti mengetuk kesedaran mereka dengan
berbicara tentang kekuasaan Allah S.W.T, perciptaan-perciptaanNya dengan
mendatangkan contoh seperti proses fotosintesis tumbuhan, penciptaan manusia,
kitaran hujan dan peredaran bumi, matahari, dan bulan yang telah dirakamkan
oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran. “Dan mereka yang memikirkan tentang
kejadian langit dan bumi sambil berkata : Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau
menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah
kami dari azab neraka” (Ali Imran 191). Maka dengan itu mad’u akan mula
berfikir dan menjentik telaga keimanannya secara tidak langsung.
TINGKATAN KETIGA : Menyeru kepada melakukan taat
kepada Alah S.W.T, melakukan ibadah wajib mahupun sunat dan menjauhi maksiat
serta menghiasi diri dengan akhlak Islamiah.
Selain dari perkara-perkara yang disebutkan diatas, para
pendakwah boleh menambahkan kredit melalui pemantapan akidah, ibadah, dan
akhlak dengan membacakan kepada mereka buku-buku yang berkaitan. Dalam pada
masa yang sama menyeru untuk menghadiri majlis ilmu dan memperkenalkan dengan
ulama-ulama yang haq sehingga dapat meghasilkan fardu muslim yang sebenar dalam
diri mad’u.
TINGKATAN KEEMPAT : Menerangkan Islam secara keseluruhannya.
Pada peringkat ini, daie hendaklah menerangkan tentang Islam pada makna yang sebenar yang
meliputi seluruh aspek kehidupan dan tidak menghadkan ia pada ibadah asas
seperti solat, puasa, zakat, dan haji. Bahkan Islam itu termasuk juga tentang cara
pemakaian, berfikir, makan dan minum, ilmu dan amal baik dari urusan
perkahwinan, perniagaan dan sebagainya. Tambahan lagi syarat asas bagi
penerimaan sesuatu amal itu adalah niat kerana Allah S.W.T serta menepati
kehendak syarak.
TINGKATAN KELIMA : Memberi kefahaman bahawa Islam
agama jamaie iaitu ia mencakupi undang-undang kehidupan, hukuman dan
pensyariatan, Islam adalah negara, jihad, dan kesatuan ummah.
Yang dimaksudkan dengan tahapan ini adalah membawa kepada
kefahaman yang benar tentang Islam dimana setiap fardu muslim itu telah
terpundak kepadanya akan tanggungjawab dan kewajipan terhadap Islam sejajar
dengan perintah Allah S.W.T sehingga merealisasikan masyarakat yang berdiri
teguh atas perinsip-prinsip Islam meliputi politik, ekonomi, syariat,
pendidikan, masyarakat dan sebagainya. “Menjadilah agama itu seluruhnya bagi
Allah semata-mata” (Al-Anfal 39).
TINGKATAN KEENAM : Menerangkan tentang kewajipan yang
tidak boleh tidak untuk dilaksanakan secara kolektif dan berjemaah pada zaman
ini yang semakin dilupakan oleh sebilangan besar manusia iaitu mendirikan
khilafah Islamiah.
Pembinaan khilafah ini merupakan perkara yang penting untuk
diberi perhatian sejak kejatuhannya pada tahun 1924. Hal ini perlulah
dilaksanakan secara berjemaah dan bukan dengan kudrat persendirian. Maka daie
hendaklah menjelaskan betapa besarnya tanggungjawab yang tergalas di bahu
seorang muslim dan dalam menjalaninya hendaklah mad’u menerima dasar dan
pembawaan yang digariskan oleh Jemaah disamping meyakinkan faedah-faedah yang
diperoleh atas keberhasilan dakwah ini.
TINGKATAN KETUJUH : Menjawab kepada persoalan : Jemaah
atau kesatuan yang perlu disokong dan didokong oleh mad’u.
Tingkatan ini merupakan tingkatan teritinggi yang mana
seorang mad’u sudah bersedia untuk menggabungkan diri dalam Jemaah atau
kesatuan yang benar-benar didasari oleh Al-Quran dan Sunnah. Para salafussoleh
telah memberikan panduan yang jelas untuk memilih jemaah antaranya paling lama
ditubuhkan, mempunyai ramai pengikut, didasari dengan asas Al-Quran dan Sunnah,
ditubuhkan atas kesedaran untuk memperbetulkan kepincangan ummat akhir zaman
dan bukan diwujudkan atas dasar hasad dengki atau kepentingan tertentu. Maka
wajib bagi setiap ahli untuk sama-sama menggembleng tenaga dan bermujahadah
untuk melaksanakan tanggungjawab membawa Islam seperti yang telah diwariskan
oleh Nabi S.A.W.
Kesimpulannya, seorang daie perlu bijak mempelbagaikan corak
dakwah serta memastikan keberhasilan setiap tahap dakwah sebelum berpindah ke
tahap seterusnya. Adalah menjadi kesalahan sekiranya seorang daie terus
melangkah ke tahap keempat atau kelima tanpa melaui tahap pertama dan kedua.
Semoga coretan ini sedikit sebanyak dapat menjadi panduan para pendakwah
tatkala berhadapan dengan mad’u dan masyarakat umum. WAllahua’lam.
Sumber : Kitab Dakwah
Fardiah ( Mustafa Masyhur )