Isnin, 17 Ogos 2015

MARHABAN RAYA : Yang Jauh Didekatkan,Yang Dekat Dieratkan. Menjalin Ukhwah sesama Mahasiswi Johor



KAHERAH,15 Ogos 2015 – Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir dibawah Unit Perumahan (Lajnah Kebudayaan,Kesenian & Sukan) HEWI dengan kerjasama Unit Kebajikan & Kemanusiaan) HEWI BKPJM 2014/2015 telah menganjurkan satu program yang saban tahun diadakan iaitu ‘Marhaban Raya’ bersempena bulan Syawal yang masih berbaki. Di kesempatan ini  tidak dilepaskan peluang yang ada bagi meneruskan kelaziman amalan ziarah menziarah walaupun berada di perantauan.

Program ‘Marhaban Raya’ ini dimulakan di rumah Pegawai Atase Pendidikan Johor di  Mesir, Ustaz Adam bin Ibrahim dengan bacaan marhaban & sedikit ucapan dari Beliau yang menyentuh serba sedikit berkenaan keberadaanya di sini sebagai pegawai Johor yang baru serta mengingatkan untuk pelajar sentiasa istiqomah dalam mencari ilmu di bumi Mesir ini dan diteruskan dengan ucapan dari Ketua HEWI, Ustazah Hanisah bte Abd Rani. Sebagai tanda ingatan sedikit cenderahati diberikan sebagai tanda kenangan dari BKPJM buat Ustaz Adam sekeluarga. Program diteruskan lagi dengan bacaan doa wehdah  dan doa rabitah di Dewan Kuttub Sittah Asrama Pelajar Johor Rabaah dan diakhiri dengan sedikit jamuan.



Program ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menerapkan amalan untuk saling ziarah menziarahi antara satu sama lain sama ada sesama akhawat mahupun dengan pegawai sendiri. Diharapkan amalan ini dapat diteruskan lagi bukan sekadar hanya pada program ini malah di luar program juga. Moga keteribatan hati hati di atas syariatnya dapat meneruskan sunnah yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. sendiri. Hal ini tidak lain tidak bukan adalah kerana dituntut dan sentiasa diwarisi zaman berzaman khususnya buat mahasiswi Johor dan sangat bertepatan dengan tema SELOKA ’15 ‘Seindah Syawal, Semanis Ukhwah”

Isnin, 10 Ogos 2015

PERMATA AIDILFITRI : Memacu Kebersamaan Mahasiswi BKPJM


GIZA, 8 Ogos 2015 - Unit Sambutan dan Rehlah HEWI BKPJM dengan kerjasama Unit Kebajikan dan Kemanusiaan HEWI BKPJM 2014/2015 telah menganjurkan program Permata dan Jaulah Aidilfitri di kediaman Utazah Nurhyda binti Runah yang bersempena dengan bulan Syawal. Jaulah yang telah disertai seramai 21 orang akhawat dan 2 orang musyrif. Objektif utama mengadakan jaulah untuk menyatukan ukhwah islamiyyah antara mahasiswi johor dengan anak-anak Johor yang tinggal di perlembahan Nil.  

         Destinasi pertama jaulah, para peserta telah ke rumah Ustazah NurHyda Binti Runah yang merupakan anak Johor yang menetap di Giza. Program dimulakan dengan bacaan marhaban, sedikit ucapan dari tuan rumah  sebelum adik beradik BKPJM saling berkenalan dengan tuan rumah dengan lebih mendalam disamping juadah makan turut dihidangkan.

       Selepas itu, jaulah diteruskan lagi ke Arabia Mall yang merupakan salah satu tempat terbesar untuk membeli belah yang terdapat di Bandar Giza. Di situ, para peserta mendirikan solat zohor dan diberi masa untuk membeli belah.

         Pada jam 2.45 petang, kami mula berkumpul dan bergerak ke Sungai Nil. Peserta jaulah kali ini diberi kesempatan untuk menaiki bot dan menghirup udara segar. Hampir 1 jam para peserta berada di atas bot sambil menjamu selera.

         Selepas itu, peserta bertolak pulang ke Kaherah dan selamat tiba di Asrama Pelajar Johor Rabaah pada jam 5.15 petang.



          Semoga jaulah kali ini dapat menguatkan lagi ikatan ukhwah yang sudah terjalin dan menjadikan jaulah ini sebagai medan untuk mengeratkan silaturrahim dalam masa yang sama dapat merealisasikan slogan “BKPJM KELUARGA KITA”.

Isnin, 27 Julai 2015

DAKWAH FARDIAH : Kearah Generasi Muslim Penyambung Perjuangan Rasulullah S.A.W



Dakwah fardiah merupakan salah satu cabang dari cabang-cabang dakwah Islamiah,bahkan ia mempunyai pelbagai kaedah bagi mencapai keberkesanannya. Antaranya dengan katibah ( menghidupakan malam dengan amal soleh secara berjemaah), khutbah, kuliah-kuliah agama, dan dengan gerak kerja kemasyarakatan.

Bahkan bagi seorang pendakwah yang menjadi tulang belakang kepada dakwah Nabi S.A.W hendaklah bermujahadah bersungguh-sungguh dan bermuhasabah serta sentiasa bersifat raja’ (kembali kepada Allah S.W.T) dan sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada mengesakan Allah serta ia sendiri mengerjakan amal soleh sambil berkata : sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam” (Fussilat : 33)

Para Ulama’ Gerakan telah menggariskan beberapa tingkatan dakwah kepada para pendakwah agar mad’u (orang yang didakwah) dapat menerima dakwah yang diseru berlandaskan aqidah, kefahaman dan semangat yang sebenar dan bukan semata-mata menggabungkan diri dalam Jemaah dek kerana tertawan dengan pangkat atau kepentingan diri semata-mata.


TINGKATAN PERTAMA : Mewujudkan hubungan dua pihak dan berkenal-kenalan dengan mad’u.

Pada tahapan permulaan ini, seorang pendakwah hendaklah mempamerkan gerak kerja amali dengan menunjukkan keprihatinan daie itu kepada mad’u dan bertanyakan tentangnya sekiranya ia tidak berjumpa. Daie itu hendaklah benar-benar mengenali setiap sudut tentang diri mad’unya sehingga sekecil-kecil perkara seperti hobi dan kecenderungannya atau peristiwa-peristiwa penting tentangnya. Kemungkinan masa yang diambil untuk tahapan ini selama beberapa minggu atau bulan.


TINGKATAN KEDUA : Meningkatkan kesedaran iman dalam diri mad’u.

Seorang dai’e perlu bijak untuk mengendalikan perbicaraan tentang keimanan secara semula jadi seperti mengetuk kesedaran mereka dengan berbicara tentang kekuasaan Allah S.W.T, perciptaan-perciptaanNya dengan mendatangkan contoh seperti proses fotosintesis tumbuhan, penciptaan manusia, kitaran hujan dan peredaran bumi, matahari, dan bulan yang telah dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran. “Dan mereka yang memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata : Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka” (Ali Imran 191). Maka dengan itu mad’u akan mula berfikir dan menjentik telaga keimanannya secara tidak langsung.


TINGKATAN KETIGA : Menyeru kepada melakukan taat kepada Alah S.W.T, melakukan ibadah wajib mahupun sunat dan menjauhi maksiat serta menghiasi diri dengan akhlak Islamiah.

Selain dari perkara-perkara yang disebutkan diatas, para pendakwah boleh menambahkan kredit melalui pemantapan akidah, ibadah, dan akhlak dengan membacakan kepada mereka buku-buku yang berkaitan. Dalam pada masa yang sama menyeru untuk menghadiri majlis ilmu dan memperkenalkan dengan ulama-ulama yang haq sehingga dapat meghasilkan fardu muslim yang sebenar dalam diri mad’u.


TINGKATAN KEEMPAT : Menerangkan Islam secara keseluruhannya.

Pada peringkat ini, daie hendaklah menerangkan  tentang Islam pada makna yang sebenar yang meliputi seluruh aspek kehidupan dan tidak menghadkan ia pada ibadah asas seperti solat, puasa, zakat, dan haji. Bahkan Islam itu termasuk juga tentang cara pemakaian, berfikir, makan dan minum, ilmu dan amal baik dari urusan perkahwinan, perniagaan dan sebagainya. Tambahan lagi syarat asas bagi penerimaan sesuatu amal itu adalah niat kerana Allah S.W.T serta menepati kehendak syarak.


TINGKATAN KELIMA : Memberi kefahaman bahawa Islam agama jamaie iaitu ia mencakupi undang-undang kehidupan, hukuman dan pensyariatan, Islam adalah negara, jihad, dan kesatuan ummah.

Yang dimaksudkan dengan tahapan ini adalah membawa kepada kefahaman yang benar tentang Islam dimana setiap fardu muslim itu telah terpundak kepadanya akan tanggungjawab dan kewajipan terhadap Islam sejajar dengan perintah Allah S.W.T sehingga merealisasikan masyarakat yang berdiri teguh atas perinsip-prinsip Islam meliputi politik, ekonomi, syariat, pendidikan, masyarakat dan sebagainya. “Menjadilah agama itu seluruhnya bagi Allah semata-mata” (Al-Anfal 39).


TINGKATAN KEENAM : Menerangkan tentang kewajipan yang tidak boleh tidak untuk dilaksanakan secara kolektif dan berjemaah pada zaman ini yang semakin dilupakan oleh sebilangan besar manusia iaitu mendirikan khilafah Islamiah.

Pembinaan khilafah ini merupakan perkara yang penting untuk diberi perhatian sejak kejatuhannya pada tahun 1924. Hal ini perlulah dilaksanakan secara berjemaah dan bukan dengan kudrat persendirian. Maka daie hendaklah menjelaskan betapa besarnya tanggungjawab yang tergalas di bahu seorang muslim dan dalam menjalaninya hendaklah mad’u menerima dasar dan pembawaan yang digariskan oleh Jemaah disamping meyakinkan faedah-faedah yang diperoleh atas keberhasilan dakwah ini.


TINGKATAN KETUJUH : Menjawab kepada persoalan : Jemaah atau kesatuan yang perlu disokong dan didokong oleh mad’u.

Tingkatan ini merupakan tingkatan teritinggi yang mana seorang mad’u sudah bersedia untuk menggabungkan diri dalam Jemaah atau kesatuan yang benar-benar didasari oleh Al-Quran dan Sunnah. Para salafussoleh telah memberikan panduan yang jelas untuk memilih jemaah antaranya paling lama ditubuhkan, mempunyai ramai pengikut, didasari dengan asas Al-Quran dan Sunnah, ditubuhkan atas kesedaran untuk memperbetulkan kepincangan ummat akhir zaman dan bukan diwujudkan atas dasar hasad dengki atau kepentingan tertentu. Maka wajib bagi setiap ahli untuk sama-sama menggembleng tenaga dan bermujahadah untuk melaksanakan tanggungjawab membawa Islam seperti yang telah diwariskan oleh Nabi S.A.W.

Kesimpulannya, seorang daie perlu bijak mempelbagaikan corak dakwah serta memastikan keberhasilan setiap tahap dakwah sebelum berpindah ke tahap seterusnya. Adalah menjadi kesalahan sekiranya seorang daie terus melangkah ke tahap keempat atau kelima tanpa melaui tahap pertama dan kedua. Semoga coretan ini sedikit sebanyak dapat menjadi panduan para pendakwah tatkala berhadapan dengan mad’u dan masyarakat umum. WAllahua’lam.


Sumber : Kitab Dakwah Fardiah ( Mustafa Masyhur )

Khamis, 18 Jun 2015

TITIK KESINAMBUNGAN ANTARA RAMADHAN DAN TARBIAH


Apabila Ramadhan kembali lagi membuatkan insan bergelar Muslim tersenyum bahagia. Kehadiran Ramadhan al-Mubarak sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah SWT. Penantian ini benar-benar dirindui kerana Ramadhan umpama suatu pakej istimewa daripada Allah SWT dengan pelbagai ganjaran yang dikhususkan khas buat mereka yang bersungguh-sungguh melakukan ketaatan dan amal soleh. Lantaran itu, pentingnya setiap insan yang bergelar muslim untuk sedar dan memahami objektif terbesar kewajipan berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredhaan Allah.Sepertimana firman Sang Khaliq:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183)

Takwa kepada Allah S.W.T menjadi tujuan dan harapan bagi setiap muslim dalam bulan mulia ini.  Takwa secara ringkas bermaksud melakukan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya. Namun hakikat erti sebenar ‘takwa’ adalah hadirnya sifat hati-hati dan takut dalam diri makhluk. Maksud ini dilaksanakan melalui arahan berpuasa yang hakikatnya bukanlah setakat menahan diri daripada makan minum tetapi jauh lebih besar lagi adalah meninggalkan segala larangan seperti menipu, mengumpat, bertelingkah, boros berbelanja, membazir, makan harta riba, berjudi dan sebagainya.

Madrasah Ramadhan mengajar kita supaya sentiasa melakukan kebaikan kerana pahalanya adalah berlipat kali ganda. Oleh itu, amalan tadarus al-Quran, qiamullail, solat berjemaah, tarawih, tazkirah, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, memberi makan anak yatim dan sebagainya hendaklah menjadi agenda kita sehari-harian dalam bulan berkat ini. Mereka yang menghidupkan amalan Ramadan dijanjikan dengan rahmat tanpa batasan dan diluaskan pintu keampunan. Rasulullah s.a.w bersabda:
“ Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan dengan keimanan dan mengharap (keampunan) daripada Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Di samping itu, madrasah Ramadhan di dalamnya terdapat malam lailatul Qadar  juga merupakan medan terbaik untuk difokuskan kepada proses pembangunan diri seperti melakukan aktiviti kebaikan, kebajikan dan kemasyarakatan kerana memberi manfaat kepada insan yang lain merupakan kebaikan yang disukai oleh Allah s.w.t dan perbuatan yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana sabda baginda:
“Sebaik-baik manusia ialah memberi manfaat kepada makhluk yang lain”
(Riwayat Al-Baihaqi )

Selain itu, Ramadhan adalah saat untuk kita menajamkan naluri kejiwaan kita untuk terus menerus berdamping dengan Allah S.W.T.  Kerja-kerja pembangunan ummah melalui dakwah dan tarbiah amat bergantung kepada kebersihan hati dan keikhlasan jiwa para pendokong, pekerja dan duat itu sendiri. Justeru, Ramadhan ini adalah bulan terbaik untuk Muslim kembali mensucikan jiwa, memperbaiki diri, mempercantikkan akhlak serta mempergiatkan lagi usaha-usaha dakwah dan tarbiah di samping tidak lupa mendoakan serta membantu nasib saudara-saudara kita yang tertindas di Palestin,Rohingya, Myammar, Selatan Thailand, Syria, Iraq, Somalia dan lain-lain lagi.

Akhirnya,marilah kita bersama saling berlumba  memperbaiki jiwa dan diri serta melakukan kebaikan di bulan yang dimuliakan oleh Allah ini. Semoga Ramadhan pada tahun ini benar-benar meninggalkan kesan dan impak yang mendalam kepada kita untuk bermujahadah menjadi hamba Rabbani yang diredhai-Nya. Ramadhan Kareem. Selamat menjalani ibadah puasa.  WaAllahu A’lam.


Selasa, 21 April 2015

PERMATA : Ziarah Menziarahi Amalan Tradisi Mahasiswi Johor

KAHERAH, 20 April 2015- Hal Ehwal Wanita Islam Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir BKJM 14/15 dibawah Unit Kebajikan dan Kemanusiaan HEWI telah menganjurkan satu program iaitu ‘PERMATA’ yang telah diadakan di Teratak Zahra’ (kediaman Saudari Nur Farah Ain binti Yatim Mustaffa), Hayyu Asyir yang melibatkan seluruh akhawat BKPJM yang berada di Raba’ah mahupun rumah sewa.

Antara tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk mengeratkan lagi ukhuwah antara satu sama lain juga dapat mengenali berkenalan antara tuan rumah dengan adik-beradik BKPJM yang lain dengan lebih mendalam lagi.

   Dengan Sempena 1 rejab 1436  pada hari ini seluruh akhawat digalakkan untuk berpuasa sunat bagi menambah amal kebaikan daripada hari tersebut. Antara tentatif yang dijalankan adalah bacaan yassin, bacaan qasidah serta jamuan berbuka puasa dengan makanan yang telah disediakan oleh setiap ahli muzakarah berkelompok. Di samping itu, ahli dapat meribat ukhuwah antara satu sama lain dapat berkumpul bersama-sama bagi menjayakan program ini.


    Program ini  mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan dari adik beradik BKPJM, serta diharapkan program seperti ini dapat dieteruskan di masa akan datang. Akhirnya,majlis ditutup dengan sedikit ucapan dari wakil Unit Kebajikan dan Kemanusiaan HEWI, Shakerah Naimah binti Aris serta bacaan surah Al-Asr dan kafarah majlis.

Khamis, 16 April 2015

JAULAH AULIA' BAHNASA 15 : Mahasiswi Mesir Mengutip Ibrah Dari Pengembaraan Sekaligus Bertawasul di Maqam Para Aulia


BAHNASA, 12 APRIL 2015- Unit Sambutan dan Rehlah Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir 2014/2015 telah menganjurkan  program  Ziarah Auliya Bahnasa bagi peringkat akhwat. Jaulah ini bertujuan untuk merapatkan lagi ukhwah antara anak-anak Johor dengan taakhi Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) Zon C .Selain itu,dapat mendekatkan diri kepada Allah melalui sistem tawasul dengan para auliya’ dan syuhada’.

Pada jam 5.30 pagi, para peserta telah berkumpul di Asrama Pelajar Johor Rabaah sebelum bertolak ke Bahnasa. Seramai 38 orang peserta telah terlibat dalam jaulah ini termasuklah BKAN  taakhi Perlis dan Kedah serta sepasang mutazawwijin. Acara dalam bas dimulai dengan bacaan doa oleh Saudara Mohd Noor Shazmi Bin Kamari untuk memberkati lagi perjalanan. Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang 4 jam untuk sampai ke bumi Bahnasa dan kami telah tiba di Bahnasa pada jam 9.05 pagi.

Sebelum memulakan ziarah,para peserta telah mendengar taklimat dan penerangan tentang Bahnasa oleh Saudara Usamah Bin Aris selaku ketua musyrif ziarah ini. Penerangan ini telah dibantu oleh Saudara Jabbar iaitu pengawal di Bahnasa. Antara maqam yang telah diziarahi adalah maqam Saidi Ali Jummam, maqam Saidi Jaafar dan Ali Bin Akil Bin Abi Talib, pokok Saidah Maryam iaitu tempat Maryam, ibu Nabi Isa A.S. berehat ketika melahirkan Nabi Isa A.S.
Pada jam 12.30 tengah hari, peserta jaulah telah berkumpul di Masjid Bahnasa untuk menunaikan solat jama’ dan makan tengahari. Kemudian jaulah diteruskan lagi ke Bahru Yusufi dan ke maqam Sab’u Banat. Pada jam 2.30 petang, kami para peserta telah bertolak pulang ke Kaherah. Ziarah kami telah diakhiri dengan kalam penutup oleh Saudara Usama bin Aris dan bacaan doa. Kami selamat tiba di Kaherah pada jam 6 petang.


Semoga jaulah kali ini, mendekatkan diri kepada Allah serta dapat memberi kekuatan dan semangat sebelum menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.


Ahad, 5 April 2015

STRIKE C ZONE : Mengukir Kenangan Bersama Taakhi Zon C Dalam Kesukanan, Mematri Ukhwah Dalam Kehidupan

KAHERAH,4 April 2015- Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 2014/2015 di bawah Unit Kebudayaan,Kesenian dan Sukan Hal Ehwal Wanita Islam 14/15 telah mengadakan riadah ‘Strike C Zone’ yang telah diadakan di Nadi Syabab Hayyu Sadis. Kemeriahan program ini bukan sekadar dimeriahkan oleh anak Johor sendiri bahkan turut disertai juga dengan BKAN taakhi zon C  iaitu Perlis dan Perak.

            Program sukan antara taakhi ini yang julung kali diadakan pada tahun ini mendapat sambutan yang memuaskan. Permainan bola jaring ini dimulakan dengan senaman ringan pada jam 3.30 petang. Turut hadir Ketua HEWI dari Perlis Saudari Salbila binti Saruddin­­­ dan Perak Saudari Nurul Fadhillah binti Mohd Khairi dan juga lebih 30 orang mahasiswi Johor,Perlis dan Perak. Mahasiswi Johor terdiri dari mereka yang menetap di Asrama Pelajar Johor Rabaah, rumah sewa Hayyu Sabik, Asyir, Sadis dan Arma.



            Sukan ini dianjurkan dalam melibatkan antara BKAN taakhi zon C  tidak lain adalah untuk mengikat ukhwah antara kita sendiri melalui sukan dan riadah. Inisiatif ini diambil bagi meneruskan serta memperkukuhkan hubungan dalam menjalinkan ukhwah bersama taakhi. Sesungguhnya seorang mukmin itu besaudara,maka persaudaraan dalam islam ini amat ditekankan oleh BKPJM sendiri. Saranan ini di penuhi bagi mengekalkan dasar Islam yang dibawa. Maka diharapkan ukhwah menerusi program ini dapat diteruskan lagi antara kita semua.

            Sebelum berakhir,kami telah bersama untuk bergambar sebagai kenangan dan bersalam-salaman. Program ini diakhiri dengan penyerahan ‘first-aid’ oleh Ketua Unit Kebajikan dan Kemanusiaan HEWI 14/15 kepada wakil APJ Rabaah dan rumah-rumah sewa sekitar Kaherah. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan lagi dan terus menerus mendapat sokongan daripada seluruh anak Johor serta Bkan taakhi dan semoga ianya menjadi wasilah dalam kita saling mengenali dan memperkukuhkan lagi ukhwah antara kita semua sesama muslim sebagai mahasiswa.

Ahad, 15 Februari 2015

LASKAR PELANGI : Mengeratkan ukhwah mahasiswi Johor melalui media massa


RABAAH, 31 Januari 2015 – Hal Ehwal Wanita Islam Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir dibawah Lajnah Penerangan dan Penerbitan HEWI telah mengadakan satu program khusus buat mahasiswi Johor di Mesir yang telah diberi nama ‘LASKAR PELANGI’. Antara objektif program ini diadakan adalah untuk mengeratkan ukhwah sesama mahasiswi Johor disamping memberi ruang untuk merehatkan minda setelah imtihan fasa satu baru-baru ini.

       Program ini telah bermula pada pukul 9 malam bertempat di Syaqah 5, Asrama Pelajar Johor Rabaah. Program telah dimulakan dengan bacaan surah al Fatihah seterusnya tayangan teater yang bertajuk Laskar Pelangi serta sedikit jamuan ringan.


        Tayangan yang berlangsung sekitar satu jam setengah telah diakhiri pada pukul 10.30 malam. Akhirnya program telah bersurai setelah bacaan surah Al-Asr dan tasbih kafarah. Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan oleh mahasisiwi Johor. Diharap program seperti ini dapat mengeratkan ukhwah antara ahli seterusnya mendapat manfaat dari tayangan tersebut.

Selasa, 10 Februari 2015

'SPORT TIME' : Meribat Ukhwah Akhawat Johor Melalui Sukan dan Permainan


HAYYU SADIS, 9 FEB 2015 – Lajnah Keseniaan Kebudayaandan  Sukan (UKKS)  HEWI Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) sesi 14/15 sekali lagi telah mengadakan aktiviti ‘SPORT TIME’ khusus buat semua akhawat Johor yang diisi dengan beberapa permainan  antaranya bola jaring dan badminton yang bertempat di Nadi Syabab, Hayyu Sadis. ‘Sport Time’ ini tidak lain tidak bukan adalah untuk bersama-sama mengajak akhawat menggiatkan diri dalam bersukan dan memberi penekanan berkenaan penjagaan kesihatan. Hal yang demikian bukan hanya semata dapat meningkatkan tahap kesihatan individu bahkan dapat juga meribatkan ukhwah sesama akhawat Johor.
Aktiviti yang berlangsung selama 2 jam ini,dimeriahkan lagi dengan kehadiran seramai 35 orang akhawat dalam kalangan anak-anak Johor, BKAN taakhi dan mutazawwijin. Permainan dimulakan dengan sedikit renggangan dan diteruskan dengan aktiviti sukan badminton dan bola jaring.
            Unit sukan kali ini dengan temanya ‘memupuk semangat bersukan melahirkan generasi cergas’ telah dapat mengasah bakat ahli yang mahir dalam bidang  bola jaring dan badminton. Aktiviti ‘SPORT TIME’ diakhiri pada jam 5 petang.  Semoga aktiviti ini akan terus mendapat sambutan daripada semua akhawat Johor khususnya selepas ini sekaligus mengeratkan ukhwah antara ahli.



Rabu, 28 Januari 2015

MUSAFIR KASIH : Menjejaki peninggalan aulia' dan salafussoleh


KAHERAH, 22 NOV 2014 - Sempena musim imtihan yang bakal kunjung tiba,  Unit Sambutan dan Rehlah  HEWI  telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Jaulah Maqam sekitar Kaherah. Jaulah ini disertai 32 mahasiswi dan penerangan mengenai biografi pemilik maqam disampaikan  oleh Ustaz Muhammad Syakirin Bin Mohd Khalid.
            Jaulah maqam ini diadakan bertujuan untuk mendekatkan lagi hati-hati mahasiswi dengan para Aulia’ yang merupakan contoh tauladan daripada aspek kefaqihan ilmu mahupun ketaatan kepada Allah S.W.T.
            Antara destinasi yang dituju adalah maqam Syeikh Soleh Al-Ja’fari, maqam Syeikh Abdul Malik bin Hisyam serta masjid kedua tertua di Mesir, Masjid Ibn Tulun. Tidak ketinggalan maqam Saidatina Nafisah serta maqam para ahli bait yang lain di sekitarnya. Peserta juga berpeluang menziarahi maqam Sultan Hanafi, yang mana terdapat perigi yang terkenal dengan karamah airnya yang persis Air Zam-Zam.
            Jaulah diteruskan dengan menuju ke Masjid Amru al-Asr di mana ianya merupakan masjid tertua di Mesir, maqam Imam Syafie dan  ke Jabal Muqattam yang terdapat maqam Wali Saghir ibn Athailah al-Askandari serta para auliya yang lain.

            Semoga ‘MUSAFIR KASIH’ ini memberi 1001 rahmat dan keberkatan  kepada semua selain daripada dapat mengisi masa terluang mahasiswi ini dengan aktiviti yang berfaedah.  

KUNJUNG HORMAT PIMPINAN HEWI KE MARKAZ HEWI PMRAM : Memperkukuh kebersamaan PMRAM Pusat dan cawangan



HAYYU SABIEK, 24 NOV 2014 - Pimpinan Hal Ehwal Wanita Islam BKPJM  2014/2015 telah mengadakan Kunjung Hormat ke Markaz HEWI PMRAM. Kunjung Hormat ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi ukhuwah dan kebersamaan antara pimpinan pusat dan cawangan. 
    
      Pimpinan HEWI PMRAM menyambut kedatangan  pimpinan HEWI BKPJM dengan baik dan mesra. Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak sama-sama berkongsi permasalahan serta buah fikiran yang dipengerusikan dengan baik oleh Saudari Musfirah Binti Anuar, selaku HEWI Angkat PMRAM Cawangan Johor.

            Kunjung Hormat ini berakhir dengan penyampaian cenderahati yang disampaikan oleh Saudari Hanisah Binti Abd Rani, Ketua HEWI BKPJM kepada Saudari Nur Ainah Binti Ramli, wakil HEWI PMRAM. Semoga hubungan yang sekian lama terjalin ini kian utuh serta menjadi batu loncatan untuk kelangsungan misi dan visi PMRAM itu sendiri.






Selasa, 2 Disember 2014

UCAPTAMA TEMA PEMBAWAAN KETUA HEWI BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2014/2015


 بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته..

ان الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلن تجد له وليا مرشدا اشهد ان لا اله الا الله و اشهد ان محمد رسول الله..أما بعد

Yang dimuliakan saudari pengerusi majlis, yang berbahagia Timbalan Pengerusi Hewi  Persekutuan Melayu Repulik Arab Mesir (PMRAM) 2014 Ustazah Nurul Izati Binti Rohani. Yang dikasihi sahabat pimpinan Hal Ehwal Wanita Islam HEWI BKPJM 2014/2015 serta hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Selaut kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT diatas segala nikmat yang dikurniakan. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad SAW ,ahli keluarga baginda serta para sahabat RA yang setia berkorban dalam menyokong risalah perjuangan islam.

Alhamdulillah HEWI BKPJM pada sesi ini meneruskan lagi pentadbiran dengan membawa tema baru iaitu “Mahasiswi Rabbani Dan Berketrampilan” bagi mempertingkatkan pencapaian demi pencapaian kearah yang lebih cemerlang.

Sidang hadirat sekalian,

         Keberadaan kita dibumi anbia’ adalah terdorong dari suatu kesedaran bahawa di bumi ini terdapat lubuk ilmu yang begitu tinggi nilainya yang harus digali bersama.Bertitik tolak dari kesedaran tersebutlah mengheret kita menimba ilmu di bumi al-azhar secara khususnya dan dari dada tokoh-tokoh ilmuan serta professional yang berkilau bak mutiara dan tak pernah jemu menyebarkan cahaya.

         Bertemakan “Mahasiswi Rabbani Dan Berketrampilan” besarlah harapan diperingkat hewi  menginginkan agar satu gelombang transformasi yang menitik beratkan tarbiah dari sudut syakhsiah seterusnya melahirkan mahasiswi yang berketrampilan dari pelbagai aspek dan kemahiran. 

Di bawah tema HEWI BKPJM terdapat 4 subtopik :
1) Memupuk kefahaman islam yang sebenar
2) Meningkatkan thaqafah dan kemahiran mahasiswi
3) Melahirkan syakhsiah islamiah yang berkualiti
4) Mengukuhkan kesatuan mahasiswi bersama bkpjm

1) MEMUPUK KEFAHAMAN ISLAM YANG SEBENAR

Dr.yusof Qardhawi didalam kitabnya واجب الشباب المسلم اليوم  telah mengariskan kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap induvidu muslim ialah memahami islam فهم الإسلام dengan pemahaman yang sebenar. Sabda Rasulullah S.A.W  :
"طلب العلم فريضة على كل مسلم و مسلمة "
“Menuntut ilmu adalah diwajibkan ke atas individu muslim dan muslimah”

Antaranya ialah memahami islam dengan kefahaman yang sebenar, mengamalkannya, menyeru kearahnya serta mengabungkan diri dalam gerakan islam. Seharusnya mahasiswi islam juga perlu berusaha untuk menghayati ilmu yang dipelajari supaya dapat menyampaikan islam sebenar berpandukan ثقافة الإسلامية  yang dimiliki. Penghayatan ilmu yang sebenar haruslah disemai dalam diri mahasiswi islam bagi mencerna minda supaya benar-benar memahami konteks islam serta kewajipan sebagai seorang muslim.

Dewasa kini, dunia melihat umat islam dipengaruhi oleh pelbagai bentuk serangan pemikiran dari segenap sudut kehidupan mereka. Maka dalam menongkah arus serangan pemikiran yang mengalir deras ini, usaha ke arah memupuk kefahaman islam yang sebenar dikalangan mahasiswi terutamanya adalah sangat wajar digiatkan.
  
Pendokong-pendokong fahaman ideologi songsang seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, kapitalisme, nasionalisme,  dan sebagainya yang terus menyusur laju dalam menyampai dakyah mereka melalui entiti yang pelbagai. Hal ini sangat penting demi menjaga keaslian manhaj dakwah dan perjuangan islam yang diasaskan dari zaman rasulullah S.A.W, para salafussoleh sehinggalah hari ini

Tanggungjawab didalam memahami islam itu tidaklah hanya terpundak  pada golongan pemuda sahaja. Bahkan, wanita juga turut mempunyai tangungjawab yang sama. Malahan wanita merupakan agen yang paling penting dalam mendidik masyarakat. Islam sangat menghormati dan menjulang tinggi martabat seorang wanita sehinggalah Allah S.W.T menamakan salah satu surah didalam al-quran dengan nama surah An-Nisa’ yang bermaksud wanita.

Justeru HEWI BKPJM memandang serius terhadap perkara ini kerana kefahaman islam yang sebenar merupakan perkara tuntutan dalam sesebuah gerakan atau kesatuan dengan kefahaman maka terlahirlah kesatuan. Antaranya dengan memurnikan pemikiran mahasiswi  dan menjana kelangsungan generasi pelapis dalam setiap lapangan bagi membuahkan kefahaman.
Bagi merealisasikan subtopik tersebut hewi BKPJM progresif dalam menyusun beberapa medan antaranya dengan memperanankan muzakarah berkelompok dan diskusi kitab-kitab yang terpilih.

2) MENINGKATKAN THAQAFAH DAN KEMAHIRAN MAHASISWI

Sidang hadhirat yang dirahmati,

Firman Allah SWT :
يرفع الله الذين آمنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت والله بما تعملون خبير (11)
“Allah SWT akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman diantaramu, dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat, dan Allah maha teliti apa yang kamu kerjakan.” (Surah Mujadillah : 11)

Pembangunan akademik perlu dititikberatkan dalam dunia mahasiswa islam kearah melahirkan golongan intelektual yang mampu menguasai setiap lapangan ilmu. Keperluan dan tuntutan ini perlu diberi tumpuan agar konsep pembelajaran mahasiswi dirancang serta disusun dengan baik. Menuntut ilmu merupakan kefardhuan umat islam. Tanggungjawab ini tidaklah hanya digalas oleh sebahagian individu mahupun sekelompok semata-mata malah ianya turut menjadi amanah oleh semua manusia. Konsep pembelajaran yang teratur merupakan salah satu faktor utama penyumbang kejayaan mahasiswi selain mengamalkan system PCR, iaitu teknik :
i- preview
ii-concentrate
iii-review
HEWI BKPJM sangat optimis dalam memastikan kecemerlangan akademik seluruh mahasiswi johor. Justeru itu pelbagai inisiatif telah direncanakan dengan menyusun study group mengikut tahun, menyediakan kelas-kelas tutorial peringkat cawangan selain mengalakkan mahasiswi agar mengikuti kelas-kelas tutorial di peringkat PMRAM serta mengadakan program motivasi ke arah kecemerlangan akademik.

Sidang hadhirat yang dirahmati,
          
          Keunggulan mahasiswi islam bukan hanya dinilai dari perspektif kecemerlangan akademik semata-mata malah penekanan kepada thaqafah dan kemahiran perlu di ambil perhatian. Era globalisasi kini menuntut mahasiswi islam untuk mempertingkatkan tahqafah dan kemahiran agar kredebiliti ini tidak dipandang sepi dan enteng oleh sesetengah golongan. Justeru itu HEWI BKPJM telah mengambil inisiatif bagi memanfaatkan kedua-dua elemen penting ini ke dalam gelanggang mahasiswi untuk bergerak aktif.

Sabda nabi muhammad SAW :

من اراد الدنيا فعليه بالعلم ومن اراد الأخرة فعليه بالعلم و من ارادهما فهليه بالعلم

“Barang siapa yang mengkehendaki dunia maka keatasnya dengan ilmu dan siapa yang mengkehendaki akhirat keatasnya juga dengan ilmu dan sesiapa yang mengkehendaki kedua-duanya maka keatasnya dengan ilmu”.

Ilmu teknologi maklumat, merupakan nilai tambah kepada mahasiswi islam sebagai bekalan sebelum terjun ke medan masyarakat. Sejajar dengan itu seni dakwah perlu diolah dalam pelbagai bentuk dan pembawakan memandangkan masyarakat kini sudah celik dengan dunia globalisasi.

Selain dari itu fiqh wanita dan ilmu dalam kemahiran vokasional seperti menjahit, memasak,dekorasi  dan sebagainya  merupakan perkara yang perlu ada pada setiap mahasiswi yang bakal melangkah ke peringkat seterusnya.

Justeru peringkat HEWI BKPJM telah merancang beberapa aktiviti yang berbentuk kemahiran seperti kelas-kelas vokasional,penjanaan thaqafah melalui raudah ilmu dan pembentangan kertas kerja.

Sidang hadhirat yang dihormati, subtopik yang seterusnya adalah,

3) MELAHIRKAN SYAKHSIAH ISLAMIAH YANG BERKUALITI

   Hakikat keimanan bukanlah hanya diucap denga lidah semata-mata. Tetapi ianya merupakan suatu hakikat yang meresap ke dalam akal, mempengaruhi perasaan dan mengerakkan kemahuan, bahkan ianya merupakan keyakinan hati  yang dibuktikan kebenarannya dengan amal perbuatan. Firman Allah maksudnya : “ sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul kemudian mereka tidak ragu-ragu serta mereka berjuang dengan harta benda mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang yang benar .”
            
            BKPJM sentiasa menitik beratkan syakhsiah islamiah dengan meperanankan tarbiah mahasiswi khususnya melalui medium yang disediakan. Setiap medium akan diterapkan dengan nilai-nilai tarbiah melalui program-program ataupun aktiviti  yang dilaksanakan.

         Syakhsiah islamiah yang juga merangkumi Akhlak islamiah mempunyai pertautan yang erat dengan akhlak al-insaniah al-asasiah  malah akhlak inilah yang merupakan pelengkap bagi akhlak al-asasiah dan juga penyempurna. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
انما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
Keistimewaaan  yang ada pada akhlak islamiah :
Akhlak islamiah meletakkan akhlak asasi manusia pada paksi dan fungsinya yang sebenar. Akhlah asasi manusia boleh diarahkan kepada mana-mana arah sama ada yang baik atau sebaliknya secara serentak. Akhlak islamiah merupakan pemandu bagi akhlak asasiah kepada kedudukan yang benar dan lurus.
  
 Ianya boleh diumpamakan sebagai pedang yang tajam yang dijadikan alat oleh perompak untuk melakukan kezaliman tanpa belas kasihan apabila berada ditangannya akan tetapi ianya merupakan alatan yang baik bahkan menjadikan suatu yang hak sekiranya pedang itu berada ditangan seorang mujahid yang brjuang dijalan Allah.
            
           Oleh yang demikian akhlak tidak boleh dihukum baik dan bagusnya berdasarkan wujudnya akhlak tersebut disisi seseorang ataupun kumpulan tertentu, tetapi baik dan bagusnya adalah berdasarkan ke arah mana akhlak tersebut digunakan.

Justeru apabila semua ajaran di dalam islam dilaksanakan dengan sebaiknya, maka akan lahirlah syakhsiah dan masyarakat  yang menjayakan islam dalam kehidupannya .

Sehubungan dengan itu, HEWI BKPJM sangat optimis dalam usaha melahirkan syakhsiah islamiah yang berkualiti dengan menyusun beberapa program dan tindakan  yang berpandukan wasilah tarbiah antaranya mukhayyam,katibah,nadwah dan mengadakan kempen gempur syakhsiah.

Sidang hadhirat untuk subtopik yang terakhir,

4) MENGUKUHKAN KESATUAN MAHASISWI BERSAMA BKPJM

Kesatuan adalah tonggak kekuatan sesebuah organisasi dan ia dapat direalisasi melalui senergi ukhuwah yang padu dan utuh. Firman Allah SWT ada menyebut didalam ayatnya yang bermaksud :
“ Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah SWT dan janganlah kamu berpecah-belah. Dan ingatlah nikmat yang Allah kurniakan kepada kamu ketika kamu bermusuhan, maka Allah menyatukan hati-hati kamu dan jadilah kamu dengan nikmatnya bersaudara.”

           Definisi kesatuan melalui ukhuwah yang dikarang didalam risalah ta’alim ialah merupakan satu ikatan hati dan jiwa yang ditautkan dengan akidah islamiah.
Sahabat seakidah sekalian,
BKPJM telah bertapak hampir empat dekad, ini bermakna keberadaaan BKPJM ini adalah hasil dari keutuhan ukhuwah sahabat seakidah dari dahulu hingga kini. Bahkan BKPJM masih lagi terus utuh dengan adanya sokongan daripada ahli.

Pengukuhan dalam kesatuan amat dititik beratkan malahan  Syed Mustafa Masyhur juga berkata didalam kitab karangannya (qaiedul qudwah a’la thoriq dakwah) “ kekuatan yang utama adalah kekuatan dalam kesatuan”

Justeru pelbagai langkah perlu diambil bagi mengukuhkan ukhuwah dikalangan ahli. Selain itu juga semua pihak perlu memainkan peranan penting dan bertindak dengan kreatif dalam mempelbagaikan,memperkasakan dan memberi sokongan kepada aktiviti-aktiviti berkonsepkan ukhuwah seperti PERMATA , Muslimah Ghathering dan riadah fatayat bagi memantapkan interaksi dan komunikasi sesama kita.

Hati yang diikat dengan ukhuwah mampu melahirkan rasa kasih dan sayang sesama kita seterusnya melahirkan gagasan generasi yang memberi pengorbanan yang lebih tinggi dan akan membuahkan kesatuan hati, fikrah dan amal sesama kita.

“ukhuwah merupakan saudara bagi iman dan perpecahan adalah saudara bagi kekufuran ”

Akhir kata “Mahasiswi Rabbani Dan Berketrampilan”.

“BKPJM Keluarga Kita”

Sekian terima kasih.
أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته...


Ahad, 12 Oktober 2014

AKU BUKAN SUPERHERO


وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على اللاثم والعدون
Dan tolong-menolonglah dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa dan jangan tolong –menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.
(Surah Al-Maidah:2)
Wahyu cintaNYA di atas membuktikan bahawa Islam ialah satu agama yang sempurna, tinggi lagi unggul. Anjuran ALLAH ‘Tolong-menolonglah’  di dalam ayatNYA menunjukkan betapa pentingnya sikap kebersamaan dalam melakukan sesuatu perkara. Ia tidak mengajar umatnya hidup bersendiri-sendiri sebagaimana umat barat, malah dia telah mengajar kita mempersaudarakan antara individu-individu umatnya menjadi hidup bersaudara yang menghendaki mereka untuk turut serta bergaul bersama insan yang lain.
Seorang insan itu seharusnyanya tidak bersikap individualistik ketika melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan seharian.Sepertimana yang kita ketahui,Kita bukanlah seperti watak kartunis superhero di televisyen yang bisa melakukan segala kerja dalam sekelip mata tetapi kita hanyalah hambaNYA yang lemah dan sentiasa memerlukan bantuan daripada insan lain.Tanpa bantuan makhluk lain maka kita umpama satu ranting yang mudah patah berbanding seikat ranting yang sesekali tidak akan patah.
         
         Sekali sekala cuba kita timbulkan persoalan dalam benak fikiran mengapa Rasulullah mengatakan solat berjemaah itu lebih afdhal daripada solat secara bersendirian?Cuba kita fikir pula mengapa pahala bagi yang berjemaah itu 27 tetapi pahala bagi yang solat bersendirian itu hanya satu?Nah!Tidak lain tidak bukan adalah untuk mengajar kita betapa pentingnya  hidup bermasyarakat serta  menerangkan kepada kita bahawa adanya keberkatan di dalamnya.Dengan berjemaah kehidupan seseorang itu akan lebih tersusun dan teratur lebih-lebih lagi ketika melakukan sesuatu perkerjaan.

          Di samping itu,seseorang juga akan lebih mendapat kekuatan  dan lebih bersemangat dalam melakukan perkerjaan apabila ada insan-insan lain yang sentiasa menjadi pendokung setia mereka dalam menguatkan antara satu sama lain sepertimana yang disebutkan dalam hadis baginda s.a.w:
عن أبي موسى اللأشعري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:ان المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعض
Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a,Nabi s.a.w bersabda:”Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan,sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.

         Selain itu,jika kita soroti kembali sirah perjuangan para Anbiyaa,kebanyakan kemenangan Islam itu bukan hanya atas dasar keimanan yang teguh kepada ALLAH Taala bahkan atas dasar kerjasama yang baik antara saudara semukmin yang lain baik pertolongan dari aspek kewangan,persiapan,jasmani serta rohani.Di dalam surah Nabi Musa a.s juga memohon kepada ALLAH supaya diberikan teman iaitu Nabi Khidir a.s ketika diperintahkan berdakwah kepada firaun serta rakyatnya.

        
            Tuntasnya,dapatlah kita simpulkan bahawasanya setiap daripada kita bukanlah SUPERHERO tetapi adalah SUPERHAMBA Allah yang  tidak lari daripada memerlukan pertolongan insan lain serta tetap memerlukan nusroh daripada Allah Taala.Hanya dengan berkumpulan maka kita dapat kembali bersatu.Hanya dengan berjemaah jua kita dapat bersama menegakkan kembali
daulah Islamiyyah yang telah  jatuh selama 90 tahun.

         Oleh itu,mari kita bersama membudayakan sifat sukakan berjemaah bak kata pepatah ‘Yang Berat Sama Dipikul,Yang Ringan Sama Dijinjing’ di dalam kehidupan.
WaAllahua’lam.

"Thaqafah Cemerlang Kesatuan Gemilang"
"Memposisi Mahasiswi Berintegriti, Membentuk Generasi Bersinergi"

Nur Hazirah Husna Binti Md Rafpidin
Unit Kebajikan Dan Tabung Derma HEWI
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir 13/14

Jumaat, 3 Oktober 2014

Bumi Musa ~ Firaun ; Ladang Tarbiah

Bumi Musa-Firaun ; Ladang Tarbiah


   Firman Allah SWT : “Masuklah kamu ke dalam Mesir, InsyaAllah aman”
( Surah Yunus :Ayat 87)  

Mesir , Kota tamadun islam yang bukan sahaja kaya dengan sirah Anbiya’ serta khazanah bahkan tersangat kaya dengan gedung ILMUNYA. Kedudukannya yang strategik yang terletak di bahagian Timur Laut Afrika,  menjadi tumpuan pendatang asing untuk menziarahi negara ini. Di sini juga wujudnya Universiti Al Azhar, universiti tertua di dunia yang dibina pada abad ke sepuluh. Kehebatannya  di dalam bidang ilmu sangat meluas, meliputi seluruh aspek duniawi dan ukhrawi seperti ilmu fiqh, tauhid, tasauf, ilmu perubatan, kejuruteraan, dan sebagainya.
            
            Langkah pertama untuk seseorang yang menuntut ilmu adalah membebaskan diri dari niat yang keji, dan bermotifkan keduniaan. Sebagaimana hadith nabi yang masyhur riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim : “Sesungguhnya setiap sesuatu itu dimulai dengan niat, dan setiap seseorang itu adalah mengikut apa yang diniatkannya”. Sesuatu perkara itu perlulah didasari dengan niat kerana ALLAH.Tanpa niat keranaNYA  maka sesuatu perkara yang ingin dilakukan mudah terjerumus kearah kemaksiatan. Tuntasnya, tuntutlah ilmu ikhlas kerana Allah, bukan untuk mendapatkan sanjungan dan kemuliaan.
            
            Tidak dapat disangkal lagi limpahan ilmu yang berada di bumi sahara bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Pelapis ulama lahir saban tahun dari pelbagai negara hasil daripada tarbiyah bumi Mesir. Ibn Abdil Bar meriwayatkan dari Imam al Auzaie ia berkata : “Tidaklah hilang ilmu (agama) melainkan dengan hilangnya sanad-sanad (ilmu agama tersebut). Dalam masa yang sama, seseorang perlu bijak memilih masyaikh agar tidak terpesong daripada landasan yang benar kerana akan muncul golongan yang tidak mempunyai latar belakang keilmuan dalam bidang agama yang memadai berdiri di hadapan khalayak lalu berbicara dalam urusan agama tanpa kelayakan.

Mesir ini bukan sahaja kaya dengan ilmu, malahan cabaran melalui liku kehidupan juga tidak kurang hebatnya. Jalan seorang pejuang itu pastinya berbalut ranjau dan duri. Kadangkala apa yang diimpikan tidak selalunya  menjadi kenyataan.Di sinilah peri pentingnya Redha terhadap segala ketentuan Allah sebagai landasan orang beriman. Sepertimana yang dapat kita telusuri melalui kisah Nabi Yusuf semasa beliau dipenjarakan kerana difitnah- di dalam Surah Yusuf ayat 33, “Wahai tuhanku penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka”.

Malahan ta’rifan ilmu itu mencakupi seluruh aspek bahkan ilmu itu bukanlah hanya terdapat dikuliah-kuliah dan didalam kitab-kitab atau dengan berguru sahaja. Selain daripada itu, pengalaman juga merupakan ilmu atau guru yang terbaik,akan tetapi guru yang berpengalaman belum tentu dia merupakan guru yang terbaik. Pengalamanlah mengajar erti kehidupan.

Akhirnya, Firman Allah SWT di dalam Surah Al Mujadalah :
“Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan”.

Sesungguhnya ilmu apabila didapati dengan kesucian tanpa kepentingan hati, dan niat yang ikhlas kerana Allah, akan mengubah personaliti seseorang menjadi lebih baik. Semoga dengan kedatangan para penuntut ilmu  di bumi anbiya’ bakal menjadi pelapis ulamak, pembimbing ummah pada masa akan datang.


"THAQAFAH CEMERLANG KESATUAN GEMILANG"
"MEMPOSISI MAHASISWI BERINTEGRITI, MEMBENTUK GENERASI BERSINERGI"

Shahidah Binti Abdul Hadi
Unit Perumahan HEWI (Lajnah Kesenian, Kebudayaan & Sukan HEWI)
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir 13/14